16 Ajaran Sesat Diharamkan Di Sabah


KOTA KINABALU - Sebanyak 16 ajaran sesat atau ajaran salah kerana menyeleweng daripada akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah diharamkan di Sabah berdasarkan fatwa dikeluarkan Majlis Fatwa Negeri Sabah, setakat ini.

Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Mohd Ariffin Arif, berkata antara ajaran terbabit ialah Qadiani, Al-Arqam, Hizbut Tahrir, Millah Abraham, Syiah, Tal Tujuh, Tarikat Hasaniah dan Tariqat Naqsyabandiah al Aliyah.

Katanya, ajaran lain yang turut diharamkan ialah Nasrul Haq, Zikir Hasan Riimau, Kumpulan Awang Rezki, Liberalisme dan Pluralisme.

"Ajaran Qadiani bergerak di Sandakan, Beaufort dan Kota Marudu selain di ibu negeri dalam kumpulan kecil, manakala kumpulan Hizbut Tahrir didapati ada di Sandakan.

"Aktiviti kumpulan ini dipantau dan diselaraskan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) bersama polis, Bahagian Teks Al-Quran, Kementerian Dalam Negeri dan agensi lain yang berkaitan," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah semalam.

Beliau menjawab soalan Datuk Abdul Muis Picho (BN-Sebatik) berkaitan ajaran sesat di negeri ini.

Mohd Arifin, berkata bagi tahun ini seramai lapan pengikut ajaran Millah Abraham yang melarikan diri ke Sabah ditahan dan dibawa ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sementara itu, Pembantu Menteri Kewangan negeri, Datuk Michael Asang, berkata sebanyak RM184 juta diagihkan kepada sekolah bantuan kerajaan dan swasta terdiri daripada sekolah persendirian Cina, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK), sekolah rendah dan menengah mubaligh serta Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) sejak 1995.

Katanya, sebanyak RM273 juta turut disalurkan kepada badan keagamaan bukan Islam seperti gereja, tokong dan kuil antara tahun 1995 hingga tahun lalu.

"Jumlah peruntukan bagi badan keagamaan pada tahun ini adalah sebanyak RM20 juta, manakala bagi sekolah adalah sebanyak RM12 juta," katanya menjawab soalan Datuk Joniston Bangkuai (BN-Kiulu) berhubung peruntukan kepada badan agama bukan Islam dan sekolah Cina.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com