Zlatan Ibrahimovic Boleh Kekal Di Old Trafford


BERITA baik kepada peminat Manchester United apabila Jose Mourinho akan mempertimbangkan untuk menawarkan kontrak baharu kepada penyerang berusia 35 pasukan itu.

Bercakap pada sidang media menjelang perlawanan pra musim pertama di California, Mourinho menegaskan pintu sentiasa terbuka kepada Zlatan Ibrahimovic untuk kembali bersama pasukan sebaik sahaja dia pulih daripada kecederaan lututnya.

Ibrahimovic yang sudah tamat kontrak bersama United merupakan penjaring terbanyak pasukan itu musim lalu tetapi bergelut dengan kecederaan sejak April.

Dia mungkin terpaksa berehat sehingga Disember ini.

“Jika keputusan dia mahu kekal dan menunggu sehingga Disember, mengapa tidak? Kita bercakap dan bertukar fikiran,” kata Mourinho.

Dengan ketiadaan Ibrahimovic, Mourinho melengkapkan perpindahan penyerang Belgium, Romelu Lukaku dari Everton bernilai 75 juta pound sterling.

Mourinho berkata United membawa masuk Lukaku kerana dia merupakan pemain Liga Perdana Inggeris sedia ada dan mempunyai banyak pengalaman di England.

“Sudah tentu ada penyerang lain yang lebih bagus dalam bola sepak, tetapi Liga Perdana Inggeris adalah habitat yang sangat spesifik, habitat sukar bagi penyerang, dan biasanya mereka memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri tetapi Lukaku telah berada dalam saingan ini hampir lima musim.

“Sekarang dia datang ke sebuah kelab yang mempunyai tanggungjawab berbeza dalam masa yang tepat dalam kerjayanya. Dia masih muda tetapi dia mempunyai pengalaman bertahun-tahun dalam Liga Perdana dan pasukan kebangsaan Belgium. Dia juga akan beraksi dalam Liga Juara-Juara yang juga motivasi utamanya,” kata Mourinho.

Pengendali dari Portugal itu memerlukan seorang pemain yang tahu bagaimana untuk menjaringkan gol ke atas sebuah pasukan yang menggunakan taktik bertahan. – mStar

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com