Waris MH17 Diberi Taklimat


PUTRAJAYA - Waris mangsa pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine tiga tahun lalu pagi ini diberi taklimat berhubung perkembangan terkini kes berkenaan.

Ahli keluarga penumpang yang terkorban dalam tragedi itu tiba bermula jam 10 pagi tadi di sebuah hotel di sini dan taklimat akan disampaikan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Yang turut hadir Pengerusi Malaysia Airlines, Tan Sri Md Nor Md Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Peter Bellew.

Bagaimanapun, majlis yang diadakan sempena memperingati tragedi itu diadakan secara tertutup dan liputan media tidak dibenarkan, difahamkan atas permintaan waris.

Tiong Lai sebelum ini berkata, Malaysia bersetuju bahawa pendakwaan terhadap mereka yang bertanggungjawab menembak pesawat MH17 di Ukraine pada 2014 dilakukan di Belanda.

Katanya, siasatan terhadap jenayah itu dijangka selesai awal tahun hadapan yang mana ketika ini skop siasatan sudah dikecilkan kepada 100 suspek.

MH17 yang sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh semasa terbang pada ketinggian 30,000 kaki di kawasan bergolak di timur Ukraine berhampiran sempadan Russia pada 17 Julai 2014.

Nahas itu mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal, termasuk 44 rakyat Malaysia.

Pada 28 September 2016, JIT membuat kesimpulan bahawa pesawat itu ditembak oleh peluru berpandu BUK yang dibawa dari Russia ke Ukraine.

Sumber: BHOnline

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com