Wanita Maut Nahas Jalan Raya Di Manjung


JURURAWAT wanita maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandunya terbabit kemalangan dengan treler di Kilometer 4, Jalan Seri Manjung-Lekir, Manjung awal pagi semalam.

Dalam kejadian 6.25 pagi itu, mangsa Siti Aishah Khamis, 28, mengembuskan nafas terakhir di unit kecemasan Hospital Seri Manjung (HSM) akibat cedera parah di kepala.

Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung Deputi Superintendan Chong Bhoo Khim berkata, mangsa yang beralamat di Rumah Kediaman (RK) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut memandu Perodua Alza dan bertugas di Hospital Teluk Intan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari rumah ke tempat kerja manakala treler berkenaan dari arah Lekir menghala ke Seri Manjung.

"Apabila tiba di tempat kejadian dipercayai kenderaan berat yang dipandu lelaki berusia 54 tahun itu keluar dari simpang dan akibat jarak yang terlalu dekat menyebabkan mangsa melanggar bahagian sisi kanan lori itu.

"Kemalangan itu menyebabkan mangsa mengalami cedera parah di kepala dan dikejarkan ke hospital namun disahkan meninggal dunia pada 7.10 pagi di unit kecemasan HSM manakala pemandu lori tidak cedera," katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, bedah siasat dijalankan di hospital sama dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com