Wanita Ambil Dadah Kerana Mahu "Suka-Suka" Dengan Rakan Suami Di Kuala Ketil

 Terpengaruh dadah angkara kawan suami

ALOR SETAR - Hanya kerana "suka-suka", itu jawapan yang diberikan oleh seorang wanita berstatus isteri orang yang dipercayai mengambil dadah setelah terpengaruh dengan rakan suami.

Seorang wanita bukan sahaja mengambil dadah, malah dia turut berkhayal bersama rakan suami ketika lelaki terbabit tiada di rumah.

Ita, 31, (bukan nama sebenar) dari Batu 2 Kuala Ketil berkata, dia mula berjinak-jinak dan mengambil dadah bermula pada bulan September tahun lalu.

“Dulu waktu tinggal di Johor dan Kuala Lumpur, saya tak hisap dadah pun. Saya mula ambil dadah bila pindah di Kuala Ketil.

“Saya ambil pun dari kawan-kawan suami yang suka datang rumah. Nak rasa seronok saja, bukan ada apa pun. Abang (suami) pun suka tak ada di rumah," katanya.

Ibu kepada dua orang anak yang kini berusia 4 dan 7 tahun mengakui menjadikan sebuah stor yang terletak di sebelah rumahnya sebagai "port" untuk dirinya dan rakan - rakan suaminya untuk melepaskan gian.

“Bila saya dah main benda tu, tak lah sampai nak salahkan kawan-kawan suami. Saya sendiri pun boleh fikir baik buruk,” katanya.

Selain itu, wanita terbabit turut menafikan punca berat badannya yang kini turut mendadak akibat daripada kesan penggunaan bahan terlarang tersebut.

“Berat badan dulu 58 kilogram, sekarang tinggal 44 kilogram. Tapi bukan pasal dadah, sebab benda tu pun dua kali seminggu ja saya ambil.

“Saya ni tak ada lah gian sampai nak jual anak. Janganlah hantar pi pusat rawatan, saya boleh kawal diri,” katanya lagi.

Sementara itu, Arnida Ishak berkata, suami wanita itu berdepan hukuman di bawah Seksyen 6(2)(F) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“Suaminya juga adalah Orang Kena Pengawasan, tapi tak pernah hadir lapor diri di AADK. Wanita itu pula dihantar ke pusat rawatan dan pemulihan di Kelantan,” katanya.

Wanita berasal dari Terengganu itu antara 21 penagih di sekitar Baling yang ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam serbuan Ops Cegah, baru-baru ini dan kesemuanya didapati positif dadah jenis morfin serta methamphetamine. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com