Vingada Pening Cari Penyerang


KUALA LUMPUR – Pengendali Harimau Malaya, Nelo Vingada masih gagal mencari penyerang tempatan terbaik selain Safee Sali dan Ahmad Hazwan Bakri menjelang aksi kedua Kum­pulan B kelayakan Piala Asia 2019 menentang Hong Kong, 5 September ini.

Kata jurulatih dari Portugal itu, pilihan yang dimiliki ketika ini amat terhad kerana kelab-kelab dalam Liga Malaysia (Liga M) lebih berminat menurunkan penyerang import berban­ding pemain tempatan bagi mengemudi jentera serangan mereka.

Tambah Vingada, sejak sai­ngan Liga M bermula selepas berehat panjang sempena Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri, dia dan barisan kejurulatihannya telah turun padang untuk menyaksikan beberapa perlawanan yang berlangsung dan bersedia untuk membawa penyerang yang bagus tanpa mengira status yang diwaki­linya sama ada bermain di Liga Super mahupun Liga Perdana.

“Saya berada di sini sudah hampir sebulan dengan misi membentuk pasukan terbaik dan mendapat keputusan yang baik.

“Apa yang menjadi sedikit kebimbangan saya adalah mahu mencari penyerang bagi memberi lebih pilihan untuk diletakkan di jentera serangan.

“Safee kini mengalami masalah kecedera­an dan perlu be­rehat selama dua bulan, maka saya perlu mencari penggantinya.

“Sejujurnya kita sedang menghadapi masalah untuk mencari penyerang terbaik dan ia bukan sesuatu yang mudah kerana setiap kali saya turun melihat perlawanan kebanyakan pasukan menurun­kan penyerang import.

“Apa pun kita tetap akan cuba mencari jalan penyelesaian terbaik,” katanya dalam sidang media di Wisma Persatuan Bola Sepak (FAM) semalam.

Penyerang PKNS FC itu mengalami kecederaan pada awal Julai ini ketika membantu pasukannya mengikat Melaka Uni­ted 1-1 di Stadium Shah Alam.

“Jika saya mendapat seorang pemain bagus dari segi mobiliti, laju melakukan sera­ngan balas, kemahiran mengele­cek tinggi dan menjadi ‘target man’ de­ngan ketinggian, sudah pasti ia memberi sesuatu yang baik buat skuad kebangsaan,’’ katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, pihaknya telah merancang untuk mengadakan tiga perlawanan persahabatan Harimau Malaya sebelum bertemu Hong Kong di Stadium Hang Jebat, Melaka September nanti.

“Kami akan mengadakan be­berapa perlawanan persaha­batan sebagai persiapan skuad kebangsaan iaitu pertemuan de­ngan Macau pada 25 Julai dan menentang Myanmar di Yangon pada 29 Julai depan.

“Cuma kita masih menunggu persetujuan daripada Syria dan jika mereka berminat, satu perlawanan persahabatan akan diadakan pada 22 Julai depan,” katanya.

Sebagai rekod, skuad Harimau Malaya tewas 1-2 kepada Lebanon dalam aksi pembukaan Kumpulan B kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 13 Jun lalu.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com