UUM, UiTM Tawar Program Ijazah Berganda Kaunseling, Muamalat September Ini


JITRA – Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan menawakan program ijazah berganda bagi program Sarjana Muda Kaunseling dan Sarjana Muda Muamalat bermula September 2017.

Tawaran itu dibuat selepas UUM dan UiTM meme­terai memorandum persefahaman (MoU) untuk menawarkan program ijazah berganda itu pada kemasukan pelajar baharu bagi Semester Pertama Sesi 2017/2018 ini .

Perkongsian sinergi kedua-dua universiti itu menerusi Pusat Pe­ngajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (Sapsp), UUM dan Akademik Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM bukan sahaja melibatkan program ijazah berganda, malah program mobiliti pelajar dan pensyarah, penganjuran seminar bersama serta penyelidikan dan penerbitan bersama.

Majlis pemeteraian itu me­nyaksikan Naib Canselor, Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak dan Naib Canselor UiTM, Datuk Dr. Hassan Said menandatangani MoU tersebut di Canselori Tuanku Syed Sirajuddin di UiTM Shah Alam, baru-baru ini.

Mohamed Mustafa berkata, kolaborasi antara UUM dan UiTM itu memberi makna yang besar kepada universiti awam negara khususnya pelajar di atas ke­sepakatan kedua-dua universiti menghasilkan program ijazah berganda.

"Program ijazah berganda ini  adalah program pertama yang ditawarkan bagi kedua-dua universiti ini dengan tempoh pe­ngajian ditetapkan iaitu empat tahun enam bulan, " katanya lagi.

Katanya program itu secara tidak langsung akan memberi peluang kepada pelajar untuk mendalami kedua-dua bidang yang mana ia dapat dilihat sebagai nilai tambah kepada pengetahuan dan kemahiran pelajar.

Dengan ijazah berganda itu pelajar dapat memasuki dunia pekerjaan yang tidak hanya tertumpu pada satu bidang sahaja, secara langsung memberikan kelebihan kepada pelajar, kata Mohamed Mustafa lagi. 

Beliau yakin kerjasama antara UUM dan UiTM boleh mengejutkan ramai pihak dengan kekuatan yang dimiliki kedua-dua universiti itu.

Sementara itu, Dr. Hassan (Naib Canselor UiTM) berkata, kerjasama akademik antara UiTM dan UUM melakar sejarah dalam institut pengajian tinggi.

“Saya berharap lebih banyak lagi kerjasama seperti ini akan dijalankan antara kedua-dua universiti ini dan secara tidak langsung memberikan satu pengalaman kepada pelajar, ujarnya lagi. -Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com