UTC Kangar Siap September Ini


KANGAR  – Pembinaan Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang terletak bersebelahan Pasar Sena di sini, dianggap unik berbanding negeri-negeri lain kerana bakal menempatkan pelbagai agensi kerajaan Persekutuan di bawah satu sistem kaunter perkhidmatan.

Pusat tersebut yang menelan kos sebanyak RM35 juta itu juga berbeza kerana turut menyediakan perkhidmatan klinik bagi rawatan ibu dan anak.

Berbanding di tempat lain, UTC di negeri-negeri lain hanya mempunyai Klinik 1 Malaysia dan klinik rawatan pergigian.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, pembinaan pusat tersebut berjalan lancar dan mengikut jadual serta dijangka boleh bero­perasi pada pertengahan September ini.

“Kita menganggarkan pembinaan UTC telah pun hampir 70 peratus siap,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri yang dihoskan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) di Dewan Wawasan di sini semalam.

Yang turut hadir Pengurus Besar PKENPs, Norsiake Kassim.

Norsiake ketika ditemui pula berkata, terdapat lima ruang niaga disediakan di UTC di sini yang berkeluasan kira-kira 0.8 hektar.

“Ini sudah tentu memberi kemudahan kepada rakyat negeri ini yang bekerja, untuk berurusan dengan agensi-agensi kerajaan selepas waktu pejabat kerana UTC berope­rasi daripada pukul 10 pagi sehingga pukul 10 malam.

“Ia juga memberi peluang kepada ibu-ibu yang bekerja untuk mendapatkan rawatan selepas waktu pejabat selain membantu mengurangkan ke­sesakan di Klinik Kesihatan Kangar,” ujar beliau.

Tambahnya, pelancaran pusat tersebut yang disifatkan sebagai amat bermanfaat kepada rakyat negeri ini dijangka disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam pada itu, Azlan memberitahu, pihaknya sedang dalam proses memin­dahkan dua buah keluarga yang mendiami dua buah rumah di kawasan tapak pembinaan Pusat Bandar Kangar (KCC) di sini ke lokasi lain.

“Perkara ini sedang diteliti oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) yang sedang membaiki rumah untuk ditempatkan dua buah keluarga ini,” katanya.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com