Tukang Besi Hasilkan 'Kondo' Haiwan Di Balik Pulau


BALIK PULAU - Peminat burung atau haiwan lain seperti kucing, arnab dan seumpamanya kini sanggup berbelanja besar semata-mata untuk menyediakan tempat tinggal yang cantik dan selesa bagi haiwan kesayangan mereka.

Menyedari potensi besar itu, seorang tukang besi, Sohimi Ahmad, 46, menawarkan perkhidmatan membina rumah haiwan atau lebih dikenali ‘Kondominium Haiwan’ mengikut reka bentuk dan kehendak pelanggan.

“Saya menghasilkan produk dan perkhidmatan berkualiti tinggi, selain memiliki pendekatan proaktif dengan strategi inovatif dalam usaha menambat hati setiap pelanggan yang berkunjung ke kedai saya.

“Ini kerana saya yakin kepuasan pelanggan menjadi penyumbang kepada peningkatan keuntungan dan secara tidak langsung dapat memenuhi keperluan mereka, di samping menjalinkan hubungan baik untuk jangka masa panjang,” katanya ketika ditemui di Permatang Pasir, di sini.

Sohimi memulakan perniagaan syarikatnya dikenali sebagai ‘Seringgit Satu’ selepas menamatkan latihan kemahiran kimpalan dan fabrikasi di Pusat Latihan Perda, Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan (SPS).

Syarikat itu menawarkan sangkar burung, ayam, kucing, arnab dan sebagainya serta sentiasa menjadi kunjungan pelanggan yang mahu menempatkan haiwan kesayangan mereka dengan lebih selesa.

“Idea untuk menghasilkan beberapa reka bentuk termasuk rumah tradisional Melayu diperoleh menerusi filem dan dihasilkan secara spontan dan Alhamdulillah, ia menepati kehendak pelanggan.

“Kondo yang dibentuk akan dipasang dengan jaring besi, selain disediakan tingkap bagi membolehkan udara memasuki ruang haiwan berkenaan dan mengambil masa sehingga dua minggu untuk disiapkan,” katanya.

Sohimi berkata, dia dibantu tiga pekerja mahir untuk menyiapkan kerja pembuatan bagi memastikan setiap tempahan dapat diserahkan mengikut waktu ditetapkan.

Katanya, berkata, harga sangkar itu ditetapkan mengikut saiz daripada RM799 hingga mencecah RM1,100 sebuah, sekali gus mampu menjana perolehan antara RM10,000 hingga RM15,000 sebulan.

“Saya amat menitikberatkan soal keselamatan dan kebersihan dengan menyediakan kemudahan terutama bilik kecil untuk pelanggan menempatkan haiwan peliharaan mereka.

“Malah, pelanggan boleh menempatkan alat permainan dan bekas makanan serta minuman pada setiap ruang disediakan untuk keselesaan dan keselamatan haiwan kesayangan masing-masing,” katanya.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com