Tudung Bernilai RM100,000 Punah Dalam Kebakaran Di Bazar Masjid India


KUALA LUMPUR - “Luluh hati saya sebaik melihat semua tudung jualan bernilai hampir RM100,000 musnah dalam kebakaran,” luah seorang peniaga, Nur Sadiah Mustafa Kamal, 36.

Dalam kejadian jam 1 pagi semalam, tiga gerai jualan di Bazar Masjid India, di sini, hangus terbakar dalam kebakaran mendadak.

Nur Sadiah berkata, kebakaran itu turut memusnahkan beberapa dokumen penting di dalam kedai itu.

“Tiada apa yang dapat diselamatkan termasuk alatan menjahit dan barang jualannya. Saya hanya mampu termenung panjang melihat kedai saya musnah.

“Semua tempahan pelanggan yang sepatutnya diambil esok turut musnah,” katanya.

Nur Sadiah berkata, dia hanya mengetahui kebakaran yang berlaku selepas menerima panggilan kecemasan daripada rakannya.

“Saya yang tinggal di Batu Caves, Selangor bergegas ke lokasi sebaik saja mendapat tahu kejadian yang berlaku.

“Kini saya terpaksa mencari modal untuk memulakan kembali perniagaan bagi menyara hidup tiga anak saya.

“Saya tidak pasti punca kejadian. Adakah disebabkan unsur khianat terhadap peniaga di sini atau sebaliknya,” katanya.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Zamani Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 2.06 pagi dan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa bergegas ke lokasi kejadian.

“Lapan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran dan memastikan api tidak merebak ke kedai berhampiran,” katanya.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com