Prestasi Ahmad Bashah Jauh Lebih Baik Jadi MB Berbanding Anak Mahathir


ALOR SETAR - Meskipun berlatarbelakangkan pendidikan sederhana dan bukan merupakan graduan lulusan universiti luar negara, prestasi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah adalah jauh lebih baik berbanding Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Dato' Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, Ahmad Bashah walaupun belum genap 2 tahun memegang jawatan Menteri Besar namun telah berjaya menjana pertumbuhan ekonomi Kerajaan Negeri dengan baik.

"Apabila Dato’ Seri Diraja Ahmad Bashah mengambil alih tampuk pentadbiran kerajaan negeri, jumlah pelaburan di dalam sektor pembuatan meningkat lebih 90 peratus dari RM1.356 bilion pada tahun 2015 kepada RM2.183 bilion (2016).

"Pelaburan asing di dalam sektor pembinaan juga meningkat lebih 90 peratus iaitu RM882 juta pada tahun 2015 kepada RM1.567 bilion (2016)," dedah Shaiful Hazizy dalam satu kenyataan media kepada Kedahnews.com.

Beliau sebelum itu mengkritik prestasi Mukhriz ketika menjawat jawatan Menteri Besar Kedah dan mencatat kemerosotan teruk rizab kewangan kerajaan negeri bagi tiga tahun berturut-turut sejak 2013 hingga 2015.

Mukhriz yang berkelulusan ijazah dari universiti luar negara dikatakan gagal memastikan peningkatan rizab kewangan kerajaan negeri meningkat, malah merudum kira-kira 80 peratus dalam tempoh pertadbirannnya.

"Terbukti bahawa rizab kewangan Kedah merosot daripada RM208.94 juta pada 2013 kepada RM43.40 juta pada 2015 manakala jumlah kutipan hasil negeri ini turut menurun iaitu daripada RM518.3 juta pada 2013 kepada RM411.05 juta pada 2015.

"Mukhriz sepatutnya akur dan bertanggungjawab bahawa angka ini secara jelas membuktikan pentadbiran beliau gagal dan tindakan menukar beliau daripada terus menjadi menteri besar adalah tepat dan perlu dilakukan pada waktu itu," katanya mengkritik keras prestasi Mukhriz.

Tegas Shaiful Hazizy, pencapaian Ahmad Bashah itu membuktikan bahawa anak jati Kedah itu lebih berpengalaman dan arif tentang keperluan negeri serta rakyat di negeri ini, selain bijak menguruskan kerajaan negeri.

"Walaupuan ada cakap-cakap sebelum ini yang mempertikaikan tahap akademik Datuk Seri Ahmad Bashah yang tidak belajar di Universiti, namun beliau membuktikan pengalaman dan kearifan beliau di dalam pentadbiran negeri mampu memberi impak yang besar terhadap pentadbiran negeri.

"Nyata 'Pasukan Muafakat' yang beliau lebih daripada setahun yang lalu mampu menyelamatkan Kedah daripada terus dibuai politik 'swafoto' dan 'diva'," katanya menyindir pedas Mukhriz yang kini merupakan Timbalan Presiden PPBM selepas dipecat keluar dari UMNO kerana melanggar disiplin parti. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com