'Tiba-Tiba Rasa Pening, Ingatkan Sebab Tak Sihat'

 Gempa bumi

SABAK BERNAM - "Saya rasa gegaran kecil dan tiba-tiba kepala pening," kata seorang penduduk, Hakimah Sawal, 53, yang mengakui merasai gegaran kecil ketika berada di rumahnya di Kampung Parit 8, Sekinchan.

Gegaran kecil yang dialami Hakimah itu dipercayai susulan kejadian gempa bumi sederhana berukuran 5.9 Richter yang dilaporkan berlaku di Sumatera Utara pada jam 9.24 pagi semalam.

Hakimah berkata, ketika kejadian, dia sedang bersarapan pagi sebelum secara tiba-tiba berasa pening dan rasa gegaran kecil.

"Saya yakin berlaku gempa bumi di negara jiran sebab saya pernah alami kejadian seperti ini beberapa kali," katanya kepada Sinar Harian

Menurut Hakimah, kejadian gempa yang berlaku pagi tadi tidak sekuat yang pernah dialaminya sekitar tahun 2010 dahulu.

"Masa itu, saya sedang buat kuih. Tidak semena-mena rasa rumah bergegar dan kepala saya rasa pening.

"Bayangkan, waktu kejadian tujuh tahun dulu, saya nampak air di dalam parit di hadapan rumah berkocak dan langsir rumah pula bergoyang-gayang," katanya.

Seorang penduduk di Parit 1 Timur Sungai Besar, Roziana Arbain, 29, pula terpaksa berhenti seketika daripada melakukan tugasannya apabila dia berasa pening berikutan kejadian gempa bumi itu.

"Pada mulanya saya memang tak terfikir berlaku gempa sebab tidak pula perasan jika ada air berkocak atau rasa gegaran yang kuat.

"Saya ingatkan rasa pening sebab semalam memang saya tak sihat.

"Jadi, bila rasa pening semasa basuh pinggan, saya berhenti dan duduk rehat sekejap. Sudah rasa lega, baru saya sambung semula  kerja basuh pinggan-mangkuk," katanya.

Roziana memberitahu, dia hanya mengetahui kejadian gempa tersebut melalui kumpulan aplikasi WhatsApp keluarganya.

Gempa bumi sederhana, berukuran 5.9 pada skala Richter melanda Sumatera Utara hari ini, 248 kilometer di barat daya Sabak Bernam, di Selangor.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, gempa tersebut berlaku pada jam 9.24 pagi.

Menurut jabatan itu, gegaran dirasai di beberapa kawasan di Selangor, namun ia tidak membawa ancaman tsunami.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com