Tiada Alasan Minta Lanjut, Tempoh Mohon E-Kad Mencukupi


JOHOR BAHRU – Tempoh yang diberikan kepada majikan untuk memohon kad sementara atau ‘enforcement card’ (E-Kad) yang membolehkan penggajian semula pekerja asing tanpa izin (PATI) adalah memadai.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri  Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata tempoh selama empat bulan itu memadai dan majikan yang menggunakan alasan tempoh pendaftaran E-Kad tidak mencukupi atau tidak mengetahui mengenai perkara itu, tidak boleh diterima sama sekali.

“Bila kita telah umumkan masanya adalah sehingga akhir bulan Jun, selepas itu (terpulang) pada dia (majikan) untuk ambil tanggungjawab. Sama ada dia cuai ataupun lewat (tiada alasan sebab), kita sudah banyak kali buat peringatan.

“Kita tidak hendak perkara jadi biasa kepada majikan untuk ambil pekerja yang tidak mempunyai dokumen yang sepatutnya seperti permit kerja,” kata beliau kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed di Kompleks Tan Sri Mohamad Rahmat di sini semalam.

Menurut Alwi, majikan yang masih menggaji pekerja PATI diminta menyerahkan mereka ke Jabatan Imigresen untuk proses penghantaran pulang sebelum tindakan undang-undang diambil.

“Kita sudah sebut banyak kali tiada tempoh lanjutan, maknanya mereka kena serah pekerja yang tanpa izin kepada Jabatan Imigresen untuk dihantar balik,” kata beliau.

Bagaimanapun majikan masih boleh memohon pekerja asing secara sah menerusi atas talian. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com