Terperangkap Lebih 30 Minit Dalam Lif


MERU RAYA - Tiga wanita pekerja kontrak pembersihan sebuah jabatan kerajaan terperangkap lebih 30 minit selepas lif yang digunakan mereka tersekat di tingkat bawah pejabat berkenaan, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, kesemua mangsa yang berusia 40-an selesai melakukan tugas dan bersedia untuk pulang ke rumah.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya, Rusdi Mohd Radzi berkata, lima anggota yang dikejarkan ke lokasi kejadian mendapati pintu lif berkenaan hanya renggang sedikit.

Menurutnya, pihaknya bertindak menenangkan mangsa setelah dimaklumkan seorang pekerja terbabit  menghidap sakit jantung.

“Anggota bertindak dengan berusaha merenggangkan pintu lif berkenaan secara manual namun usaha itu gagal.

“Pada masa sama, juruteknik syarikat penyelenggaraan lif berkenaan dihubungi untuk membantu mengeluarkan mangsa,” katanya.

Katanya, kesemua wanita terbabit akhirnya berjaya dikeluarkan menerusi tingkat dua bangunan berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati kesemua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan. Mereka bernasib baik ketika kejadian penghawa dingin dan lampu masih berfungsi.

“Bantuan pemeriksaan diberikan kepada seorang mangsa yang menghidap sakit jantung sebelum dibenarkan pulang,” katanya yang tamat operasi kira-kira jam 5.50 petang.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com