Terpaksa Ikat Tangan Suami Lepas Terlibat Kemalangan


ALOR SETAR - Seorang isteri bukan sahaja terpaksa menjadi ketua keluarga tetapi terpaksa mengikat tangan suaminya yang kini terlantar sakit setelah telibat dalam satu kemalangan dilanggar lori ketika dalam perjalanan mahu menghantar hasil jualannya di Pasar Taman Ria, Sungai Petani, 7 Jun lalu.

Norsyeala Md Salleh, 33, berkata, suaminya, Mohd Hafiz Yaacob, 33, dahulunya mencari rezeki dengan menjual ikan rebus.

Namun insiden terbabit merubah kehidupan keluarga dari Kampung Alor Bemban, Tikam Batu tersebut setelah lelaki terbabit parah di bahagian kepala.

Mangsa yang tidak sedarkan diri ketika insiden berlaku dilaporkan doktor bahagian otaknya bengkak selain berlaku pendarahan, namun setakat ini tiada sebarang pembedahan dilakukan.

"Suami dah sedar dan dibenarkan pulang minggu lepas. Tapi dia tak boleh bercakap dan tak kenal orang sekeliling dia.

"Sekarang ini dia minum susu saja yang disalurkan kat bahagian leher. Mungkin sebab tak selesa, dia ada cuba nak cabut salur ini, itu yang saya terpaksa ikat tangan dia dekat katil," katanya.

Norsyeala kini memerlukan wang RM1,200 sebulan untuk menampung perbelanjaan suaminya yang kini bergantung sepenuhnya kepada susu khas disyorkan doktor dan juga lampin pakai buang.

Sekarang ini tengah fikir macam mana nak bayar ansuran kereta, bil air dan elektrik, belum lagi hal sekolah anak kira-kira RM1,000 sebulan," katanya.

Pasangan terbabit mempunyai dua anak iaitu Puteri Nurul Ain, 9, dan Mohd Adam Naqib, 6, yang bersekolah di tahun tiga dan pra Sekolah Kebangsaan Berapit.

Norsyeala kini terpaksa meneruskan kerja suaminya demi mencari wang perbelanjaan sementara suaminya diuruskan oleh ibu mangsa.

Terdahulu, mangsa terlibat dalam satu kemalangan ketika sedang menunggang motosikal di lorong kecemasan dan telah dilanggar lori dari arah belakang menyebabkannya terbabas sebelum motosikal mangsa melekat di bahagian hadapan lori terbabit.

Orang ramai yang ingin membantu boleh salurkan sumbangan ke akaun Maybank 1120 3601 8071. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com