Tentera Zionis Larang Imam 1 Masuk Masjid Al-Aqsa


IMAM Satu Masjid al-Aqsa, Sheikh Yusuf Abu Sneina, dilarang masuk ke kompleks masjid itu untuk menunaikan solat, ketika penutupannya masuk hari keempat, semalam.

Perkara itu dimaklumkan gabungan pertubuhan Islam di Gaza kepada Pengarah i-Reach -Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Johan Ariff Ismail yang mengikuti perkembangan dari semasa ke semasa situasi di sekitar masjid suci umat Islam yang masih dalam kawalan tentera Zionis.

Setakat ini, kesan paling ketara ialah membabitkan 30,000 umat Islam yang masih mendiami sekeliling kompleks al-Aqsa, selain memberi kesan kepada 10 buah sekolah dan Universiti al-Quds yang terletak dalam kompleks seluas 1,444 meter persegi itu.

Katanya, halangan itu menyebabkan ribuan rakyat Palestin bersolat fardu dan sunat di sekeliling kawasan yang menempatkan lima masiid iaitu Masjid Kubah Shakhrah, Masjid Kibli, Masjid Buraq dan dua masjid di bawah tanah iaitu Masjid al-Qadim serta Masjid Marwani selain pusat perniagaan.

"Berdasarkan maklum balas itu, juga kita bimbang penggeledahan oleh tentera akan menjejaskan pelbagai khazanah dan manuskrip lama sejak zaman Uthmaniyah, Mamluk, Saljuk, Ayubbi, Byzantine dan Fatimiyyah.

"Rakan gabungan di sana juga memberikan laporan terkini setiap satu jam dan kita mohon seluruh rakyat Malaysia mendoakan kesejahteraan tempat suci kita," katanya kepada Harian Metro.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com