Tak Munasabah Siaran Langsung Tiga Kali Berturut-Turut Di Stadium Darulaman - KFA


ALOR SETAR - Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) menyifatkan  tidak munasabah bagi sesebuah pasukan bolesepak yang beraksi di gelanggang sendiri disiarkan secara langsung sebanyak tiga kali berturut-turut.

Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar berkata, siaran langsung yang melibatkan perlawanan di gelanggang tuan rumah  harus selari dan atas 'dasar menang-menang' untuk kebaikan semua pihak.

Kata beliau, selepas Liga Malaysia bersambung pada Julai ini, dua perlawanan berlangsung di Stadium Darulaman yang melibatkan pasukan Kedah dengan Perak dan Melaka United telah disiarkan secara langsung pada 1 Julai dan 4 Julai.

Bagaimanapun ujarnya, masih ada lagi pasukan lain yang beraksi dalam kumpulan Liga Super  belum dipancarkan secara langsung oleh penyiar rasmi perlawanan.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan akhbar semalam bagi mengulas isu pembatalan siaran langsung perlawanan Liga Super antara Kedah dan Selangor di Satdium Darulaman yang dijadual berlansung pada 15 Julai  (Sabtu) esok.

Menurut Aminuddin, KFA amat berterima kasih kepada penyiar rasmi Media Prima kerana memilih Kedah selaku penyandang juara Piala Malaysia dan juara Piala FA musim ini untuk membuat liputan langsung perlawanan Liga Super mahupun Piala Malaysia, sama ada di Stadium Darulaman mahupun di gelanggang lawan.

"Kita mengalu-alukan sebarang usaha untuk menyemarakkan suasana Liga Malaysia dan tidak pernah menghalang rakaman siaran langsung sebelum ini yang melibatkan pasukan Lang Merah, " kata Aminuddin lagi.

Namun begitu, kata beliau  pemilihan serta pemakluman awal mengenai sesuatu siaran langsung perlu dibincang bersama antara penyiar rasmi dengan pengendali liga serta pasukan bolasepak yang terlibat.

Ini bertujuan untuk mengelak berlaku  sesuatu isu penundaan atau pembatalan secara mengejut atau di saat akhir, katanya lagi.

Sementara itu Aminuddin terus memberikan penghargaan kepada para penyokong setia Lang Merah yang setiasa membanjiri stadium setiap kali perlawanan di Stadium Darulaman mahupun di gelanggang luar. - Kedahnews.com


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com