Tak Hirau PAS, Mahfuz Mahu Pakatan Menang Di Kedah


ALOR SETAR - Ahli Parlimen PAS Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar kini dilihat tidak lagi menyokong parti lamanya untuk menang di Kedah mahu pun di Kelantan walaupun beliau mengakui masih menyayangi PAS.

Beliau sebaliknya lebih mengharapkan Pakatan Harapan yang diterajui DAP agar menjadi 'kuasa baharu' politik Malaysia selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 ini.

Bekas Pesuruhjaya PAS Kedah itu menasihatkan Pakatan Harapan mempersiapkan diri bagi menghadapi pertandingan tiga penjuru yang tidak dapat dielakkan lagi kali ini.

PAS Kedah bercadang untuk bertanding semua 15 kerusi Parlimen dan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti mana yang diberitahu oleh Pesuruhjaya PAS, Negeri Dr. Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi baru-baru ini.

Jika keputusan PAS itu tidak berubah, ini bermakna Barisan Nasional (BN) negeri ini akan dicabar oleh PAS dan salah satu parti komponen Pakatan Harapan.

Tanpa menyentuh hasrat PAS Kedah itu, Mahfuz yang kecewa dengan partinya itu turut memberi 'tunjuk ajar' kepada Pakatan Harapan seperti mesti menggunakan satu lambang rasmi bagi  mengahadapi BN pada PRU kali ini.

Dalam kenyataannya semalam, Mahfuz mengucapkan tahniah kepada barisan kepimpinan PH yang mencapai kata sepakat untuk menyusun struktur gabungan itu sambil mengharapkan  gabungan itu segera mendaftarkan lambang rasmi parti.

Selain itu Mahfuz mahu PH melakukan penyelesaian segera kepada agenda yang lebih konkrit dan terperinci dalam manifesto pakatan bagi memberi keadilan kepada rakyat. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com