Tabung Darah Di Kedah Kritikal, Hospital Rayu Penderma Tampil Membantu


ALOR SETAR – Hospital-hospital di negeri Kedah amat memerlukan sumbangan orang ramai untuk menderma darah berikutan tabung darah kini berada pada paras yang agak kritikal ekoran penggunaannya yang meningkat semasa sambutan Aidilfitri.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Norhizan Ismail berkata tabung darah negeri kini berada pada paras bawah 500 pain dan kumpulan darah yang amat diperlukan ialah daripada jenis A dan B.

“Stok darah perlu dipertingkatkan melebihi 800 pain dalam tempoh terdekat. Ini perlu bagi memastikan bekalan sentiasa dalam keadaan stabil.

“Bagi  meningkatkan pengumpulannya, Pusat Darah Wilayah Utara (PDWU) dan tabung darah di hospital seluruh sedang giat mengusahakan program pendermaan darah,” katanya di sini semalam.

Bagi mentasi masalah itu, Dr. Norhizan menyeru agar orang ramai tampil menderma darah dalam usaha menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan.

“Bantuan orang ramai untuk menderma darah di hospital terdekat amat dialu-alukan,” katanya dan menambah PDWU bertanggungjawab mengumpul  kutipan darah bagi seluruh Kedah yang mempunyai sembilan hospital dan  sebuah hospital di Perlis.

“PDWU akan mengumpul ke­semua kutipan darah daripada 10 hospital untuk kegunaan di hospital-hospital berkenaan.

“Status sekarang iaitu paras tabung darah di bawah 500 pain mengambilkira stok bagi keseluruhan Kedah dan Perlis,” katanya lagi.- Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com