Suami Penolong Pegawai Pertanian Ditahan Reman Tujuh Hari

 Suami penolong pegawai pertanian direman tujuh hari

SEREMBAN - Suami Penolong Pegawai Pertanian di daerah ini ditahan reman tujuh hari selepas disyaki bersubahat dengan isterinya bagi mendapatkan projek pertanian bernilai RM30,000.

Lelaki berusia 31 tahun itu direman bermula hari ini sehingga 18 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Perintah berkenaan dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar, Rahimah Rahim di Mahkamah Khas Reman pagi tadi.

Dia yang bekerja sebagai kontraktor disyaki bersubahat dengan isterinya yang bertugas di Pusat Pertanian Hortikulator Sendayan di sini, untuk mendapatkan Projek Menyelenggara Sistem Pengairan Projek Herba bernilai RM10,100 dan Projek Menyelenggara Nurseri Herba, Pusat Pertanian Sendayan bernilai RM19,900.00.

Suspek ditahan semalam, ketika hadir ke pejabat SPRM di Seremban bagi memberi keterangan jam 4.13 petang.

Sementara itu isterinya berusia 34 tahun yang ditahan reman bagi membantu siasatan sebelum ini telah pun dibebaskan semalam dengan jaminan tanpa cagaran sebanyak RM5,000.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com