Suami Isteri Dijel Kerana Miliki Tiga Butir Bom

  

PETALING JAYA – Sepasang suami isteri masing-masing dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pindaan memiliki tiga butir bom di sebuah unit Kondominium Metropolitan Square, Damansara Perdana, April tahun lalu.

Hakim Hilmiah Yusoff menjatuhkan hukuman itu terhadap penganggur, Ng Woon Chieh, 39, dan isterinya Chow How Luen, 41, selepas mereka mengaku bersalah sebaik pertuduhan terhadap masing-masing dibacakan di hadapan jurubahasa mahkamah.

Mahkamah memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkapan pada 7 Mei tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa memiliki tiga bahan letupan yang menimbulkan syak di sebuah unit kondominium di Metropolitan Square, Jalan PJU 8/1, Damansara Perdana, di sini pada pukul 6 pagi, 17 April tahun lalu.

Pasangan itu didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela Wan Muhd Ariff Ameer Wan Normazlan.

Dalam kejadian 17 April tahun lalu, lebih 200 penduduk kondominium di Damansara Perdana itu gempar apabila dimaklumkan penemuan bom di dalam sebuah unit kediaman di kondominium itu sebelum semua bahan letupan itu dibawa ke kawasan lapang berdekatan untuk dimusnahkan.

Sumber: Metro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com