SL1M Dapat Pengiktirafan Antarabangsa


PUTRAJAYA - Kerjasama yang dijalinkan antara swasta dan kerajaan dalam menjayakan inisiatif Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) mendapat perhatian dunia di Forum Perkhidmatan Awam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNPSF2017) di The Hague, Belanda.

Tumpuan diberikan oleh delegasi antarabangsa itu, sekali gus membuktikan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara membangun sentiasa berusaha memastikan kesejahteraan rakyatnya, terutama dalam bidang pekerjaan.

Pada forum anjuran Kementerian Dalam Negeri dan Hubungan Antarabangsa Belanda serta bahagian Pentadbiran Awam dan Pengurusan Pembangunan PBB yang berlangsung pada 22 dan 23 Jun itu, Malaysia diwakili Ketua Sekreteriat SL1M, Norashikin Ismail, untuk membentangkan inisiatif itu.

Norashikin berkata, Fokus SL1M terhadap kerjasama antara kerajaan dan syarikat swasta yang berlandaskan tanggungjawab sosial korporat (CSR) menarik perhatian delegasi luar negara kerana ia adalah sesuatu yang unik.

"Pada pembentangan itu, saya nyatakan bahawa program yang dilaksanakan ini mendapat kerjasama dan sokongan sepenuhnya daripada swasta, termasuk menanggung kos pelaksanaan program.

"Keadaan ini membuatkan kebanyakan delegasi terkejut kerana majoriti mereka mengatakan bahawa kerjasama antara kerajaan dan swasta ini amat sukar untuk dilaksanakan di negara mereka.

"Ramai delegasi berharap untuk belajar daripada kita dalam usaha menangani masalah pengangguran belia di negara mereka," katanya pada sidang media, di Jabatan Perdana Menteri, baru-baru ini.

Norashikin berkata, kerjasama dengan syarikat swasta itu bukan sahaja dapat membantu mengasah dan mengilap bakat pelatih, malah dapat membantu meningkatkan sosioekonomi pelatih SL1M serta keluarga.

Lapan kumpulan tema

Katanya, pada forum itu, ada lapan kumpulan tema disediakan dan Malaysia mengupas isu 'Pewujudan Pekerjaan dan Kemakmuran'.

Untuk kumpulan tema itu, banyak negara membentangkan isu di bawa tema ini dengan memaparkan pelbagai perkara yang boleh dijadikan panduan.

Forum berkenaan bertujuan menghimpun wakil dari seluruh dunia berkongsi pendekatan inovatif serta pendekatan yang dilaksanakan untuk membantu golongan terpinggir dalam misi mencapai Agenda 2030, iaitu Pembangunan yang Mampan.

Sehubungan itu, inisiatif SL1M yang dibentangkan pada forum itu dilihat selari dengan tema diketengahkan UNPSF2017 dan tajuk 'Pewujudan Pekerjaan dan kemakmuran.

SL1M adalah program kebolehpasaran graduan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dan ke atas, terutama bagi mereka yang berasal dari keluarga berpendapatan rendah serta tinggal di kawasan pedalaman.

Malah sejak SL1M diperkenalkan bermula 2011 sehingga April 2017, 120,000 graduan berjaya mendapat pekerjaan menerusi program ini.

"Dengan penyertaan di program ini, saya bukan sahaja dapat berkongsi pengalaman menganjurkan SL1M tetapi hasil pembentangan daripada delegasi luar negara membuka mata saya untuk meningkatkan lagi mutu SL1M.

"Antara yang menarik perhatian saya adalah Belgium yang tidak mempunyai masalah pengangguran kerana rakyatnya bukan sahaja berpelajaran tinggi tetapi pada masa sama mempunyai pelbagai kemahiran, sekali gus membuatkan mereka tidak terlalu bergantung kepada kerja makan gaji," katanya.

Norashikin berkata, tumpuan yang diberikan oleh pihak antarabangsa itu turut menarik perhatian syarikat swasta di Malaysia untuk bekerjasama dengan SL1M.

Malah ada juga syarikat swasta yang menyatakan hasrat untuk turut membuat pembentangan di forum itu pada masa akan datang.

"Sehingga kini ada ribuan syarikat di Malaysia, tetapi hanya kira-kira 300 yang memberi kerjasama, jadi saya berharap pada masa akan datang jumlahnya akan meningkat," katanya.

"Pengiktirafan SLIM bukan hanya di forum UNPSF 2017, sebaliknya tahun lalu, pihak universiti dari Ireland datang ke Malaysia untuk mempelajari mengenai ini.

"Ireland turut mengalami masalah pengangguran dan bagi menangani masalah itu beberapa wakil dari negara itu hadir tahun lalu melihat sendiri program SL1M," katanya. 

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com