Skandal BNM: Anwar Kata Sedia Beri Kerjasama Kepada RCI


KUALA LUMPUR – Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan akan memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Siasatan Di-Raja (RCI) yang menyiasat skandal kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.

Anwar yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan sewaktu skandal itu berlaku berkata, beliau bersedia memberi kerjasama kepada RCI dalam siasatan tersebut walaupun ia melibatkan Mahathir yang baru sahaja dilantik oleh parti pembangkang sebagai Pengerusi Pakatan Harapan.

“Saya alu-alukan kesediaan kerajaan menubuh RCI yang akan dipengerusikan oleh Tan Sri Mohamed Sidek Hassan.

“Selaku Menteri Kewangan yang menerima perletakan jawatan pegawai yang bertanggungjawab iaitu Tan Sri Nor Mohamed Yakcop serta Gabenor Bank Negara pada ketika itu, Tan Sri Jaafar Hussein, saya akan memberikan kerjasama penuh kepada RCI ini.,” ujarnya dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh Biro Komunikasi PKR semalam.

Pakatan Harapan yang dibarisi DAP, PKR, PAN dan PPBM baru-baru ini mengumumkan pelantikan Mahathir sebagai Pengerusi Pakatan Harapan dengan harapan dapat meraih sokongan kaum Melayu selepas PAS meninggalkan mereka.

Anwar dalam kenyataannya semalam bagaimanapun memberi peringatan supaya kerjasama yang beliau bakal berikan kepada RCI tidak dijadikan momokan politik untuk menyerang Mahathir.

“Saya akan memberikan semua fakta secara telus, tetapi tidak akan diheret untuk diperalatkan dalam gelanggang politik,” katanya.

Kenyataan Anwar yang seterusnya itu sekali gus menimbulkan persepsi sama ada Anwar akan cuba melindungi Mahathir sewaktu memberi keterangan kepada RCI demi kepentingan pembangkang memandangkan Mahathir kini Pengerusi Pakatan Harapan.

Persepsi lain sama ada Anwar akan berterus-terang tentang skandal itu walaupun ia melibatkan Pengerusi Pakatan Harapan memandangkan Mahathir merupakan individu yang bertanggungjawab menyingkir dan memecat beliau daripada Kabinet pada tahun 1998 selepas Mahathir mendapati beliau terlibat dalam aktiviti homoseksual dan rasuah.

Masyarakat umum sangat jelas tentang dendam Anwar dan keluarganya ke atas Mahathir sejak perisitwa itu, namun Anwar dan keluarganya dipercayai terpaksa menerima pelantikan Mahathir sebagai Pengerusi Pakatan Harapan ekoran desakan kumpulan tertentu dalam pakatan pembangkang. –Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com