Sindiket Tebang Pokok Secara Haram Di Kedah Tumpas


ALOR SETAR - Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) telah berjaya menumpaskan sindiket penebangan hutan secara haram yang sering berleluasa di Kedah.

Pengarahnya Datuk Mohd Nasir Abu Hasan mendedahkan pihak mereka telah berjaya merampas 25 batang balak jenis meranti bernilai kira-kira RM100,000 di Kompartmen 28 Hutan Simpan Gunung Bongsu di Kulim pada 13 dan 14 Julai lepas.

Turut ditahan  empat lelaki warga tempatan berumur dalam lingkungan di antara 23 hingga 48 tahun, penahanan dibuat secara berasingan dalam Operasi Khas Penguatkuasaan Hutan itu.

"Tangkapan pertama pada Khamis (13 Julai) kira-kira 9.40 pagi membabitkan dua lelaki manakala dua lagi lelaki ditahan keesokannya (14 Julai) pada 10.40 pagi.


"Mereka ditahan ketika melakukan aktiviti penebangan hutan secara haram, yang dipercayai telah aktif sejak awal tahun ini, selepas menceroboh hampir 20 hektar hutan kekal di kawasan terbabit," katanya.

Selama ini sindiket trbabit menjalankan aktiviti secara berpindah dari satu tempat ke tempat lain di sekitar Kulim,  Bandar Baharu, Selama dan Mahang.

Selain itu, mereka turut mensasarkan kawasan Hutan Simpan Kekal berhampiran kampung yang mudah dihubungi melalui jalan mini tar, jalan kebun getah dan kelapa sawit.

"Masyarakat setempat berhampiran Hutan Simpanan Kekal diminta tampil membuat aduan sekiranya melihat orang atau jentera yang mencurigakan berada di kawasan hutan berkenaan,” katanya.

Turut disita dalam operasi terbabit ialah dua kenderaan pacuan empat roda, sebuah Excavator Hitachi, satu unit gergaji berantai dan sebuah lori yang digunakan dalam sindiket berkenaan, katanya.

Kesemua lelaki terbabit ditahan mengikut Seksyen 15 Akta Perhutanan Negara 1984 ( Pindaan 1993) dan telah dibebaskan dengan jaminan polis. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com