Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, sikap sedemikian seolah-olah membelakangkan un­dang-undang negara dan me­ng­anggap segala yang dirancang oleh parti itu betul belaka sehingga tidak membenarkan pihak lain masuk campur.
“Kita ahli politik yang sentiasa mematuhi undang-undang. Kalau DAP terus buat begini, mereka tunjukkan contoh yang tidak baik kepada rakyat sehingga boleh menyebabkan pelbagai undang-undang ditetapkan negara diabaikan atas alasan pemimpin boleh melanggarnya,” katanya.
Beliau ditemui selepas menghadiri Persidangan Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Kepala Batas di sini kelmarin.
Advertisement
Yang turut hadir Ahli Majlis Tertinggi merangkap Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Baru-baru ini, ROS mengarahkan DAP mengadakan pemilihan CEC baharu secara telus bagi membolehkan perwakilan memilih 20 anggota CEC yang sah dan diiktiraf.
Walau bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP yang belum di­sahkan jawatannya, Lim Guan Eng mempertikaikan arahan itu dan bertegas tidak mahu mengadakan pemilihan berkenaan dengan alasan parti telah berbuat demikian pada 29 September 2013.
Mengulas lanjut, Tajuddin yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menyelar kepemimpinan DAP termasuk Guan Eng dan bapanya yang juga Penasihat parti, Lim Kit Siang kerana enggan mematuhi arahan ROS.
Beliau turut mengingatkan DAP bahawa UMNO pada 1988 pernah menerima arahan pembubaran daripada ROS tetapi tidak menentang, sebaliknya bertindak profesional dengan menubuhkan sebuah parti baharu.
“Apa istimewa DAP sampai mereka boleh bertindak degil hingga tahap mengingkari undang-undang negara?” soalnya.

Sumber : Utusan