Semua Perlawanan Amat Penting - Kim Swee


PETALING JAYA - Pengendali skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee menyifatkan semua perlawanan dalam Kumpulan H kelayakan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 sebagai amat penting.

"Saya hanya dapat kumpul pemain lima hari lepas. Bagi saya semua perlawanan amat penting tak kira Indonesia, Thailand mahupun Mongolia. Apa yang penting semua pemain perlu kekal fokus dalam setiap perlawanan," katanya.

Menurut Kim Swee, beliau memikul tugas berat di Bangkok iaitu membantu pasukan mara ke peringkat seterusnya.

Justeru, katanya, pemain perlu kekal fokus dalam mengharungi perlawanan demi perlawanan tanpa memikirkan mengenai keseluruhan saingan peringkat kumpulan itu.

"Tak ada persiapan yang boleh dikatakan rapi untuk Malaysia di mana kita tahu terutama pasukan Indonesia telah bersiap sedia lebih awal manakala Thailand menghentikan saingan liga mereka lebih awal," katanya.

Walaupun persiapan skuad B-22 negara serba kekurangan, Kim Swee yakin anak buahnya sudah bersedia untuk memberikan tentangan sengit sama seperti pasukan lain.

"Saya percaya semua pasukan bersiap sedia dengan baik terutamanya Thailand, sebuah pasukan yang hebat dan pilihan termasuk Indonesia tapi kita tak boleh memandangkan rendah Mongolia.

"Saya tetap percaya dengan keupayaan pemain saya kerana tujuan kita ke sini adalah untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya," kata beliau.

Malaysia akan memulakan saingan Kumpulan H bertemu Indonesia pada Rabu diikuti Thailand pada 21 Julai dan Mongolia (23 Julai) di Stadium Nasional, Bangkok.

Senarai 22 Pemain Malaysia:

Ahmad Solehin Mamat (PG), Raphi Azizan Mariappen, Syazwan Zaipol Bahari, L Kalaiharasan, Adib Zainudin (K), Amirul Hisyam Awang Kechik, Danial Ashraf Abdullah, Adam Nor Azlin, Akhyar Rashid, Jafri Firdaus Chew, N Thanabalan, Syahmi Safari, Nur Shamie Iszuan Amin, Sean Eugene Selvaraj, Danial Amier Norhisham, Irfan Zakaria, Fauzan Fauzi, Ifwat Akmal Chek Kassim (PG), Syafiq Ahmad, Syazwan Andik Ishak, Amierul Hakimi Awang (PG), Ariff Farhan Md Isa.

Sumber: Mstar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com