Seludup Rokok Guna Kapal Pula


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan sindiket penyeludupan rokok yang menggunakan jeti persendirian di Lukut, Port Dickson, minggu lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan dan Pematuhan) JKDM, Datuk Zulkifli Yahya, berkata pihaknya mendapati ia taktik terbaru sindiket menyeludup rokok ke negara ini menggunakan jeti persendirian selepas laluan biasa mereka dikesan JKDM.

Menurutnya, sindiket itu juga tidak menggunakan bot pancung sebaliknya kapal berdaftar secara sah.

Katanya, pihaknya mengesan kapal dari Jurong, Singapura, dalam perjalanan ke Medan, Indonesia, berhenti di jeti persendirian untuk menurunkan rokok seludup, pada 12.30 tengah malam, 11 Julai lalu.

"Susulan itu, anggota melakukan serbuan dan menahan 16 lelaki iaitu sembilan warga asing dan tujuh warga tempatan berusia antara 20 hingga 47 tahun ketika sedang memunggah rokok berkenaan ke sebuah lori.

"Kita merampas 8.98 juta batang rokok dengan nilai keseluruhan RM7 juta. Kita turut menyita kapal dan lori berkenaan untuk siasatan lanjut," katanya pada sidang media di Pejabat JKDM Negeri Sembilan, Seremban, semalam.

Beliau berkata, siasatan mendapati kapal itu milik syarikat berdaftar di Mongolia dan mempunyai lesen sah untuk mengimport barangan.

Zulkifli berkata, semua ditahan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana mengimport tanpa mengikut prosedur sah yang memperuntukkan hukuman denda minimum 10 kali ganda nilai barangan dan maksimum 20 kali ganda nilai barangan, atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

"Ia kejadian pertama kita kesan menggunakan modus operandi baru kerana sebelum ini mereka menggunakan bot kecil dan mendarat di kawasan terpencil seperti paya bakau untuk menyeludup masuk rokok," katanya.

Katanya, pihaknya sudah mengarahkan anggota menjalankan pemeriksaan dan risikan di jeti persendirian di seluruh negara bagi mengekang aktiviti penyeludupan.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com