Segera Atasi Hakisan Tebing Sungai Di Batu Kurau


BATU KURAU - Kejadian banjir dan runtuhan tebing sungai di Kampung Changkat Perah Ulu, di sini, makin membimbangkan setelah berlarutan sejak beberapa tahun lalu.

Ketua Angkatan Muda Keadilan Cabang Larut, Muhamad Aiman Aizuddin Md Husin berkata, pihaknya telah melawat kawasan terlibat selepas dimaklumkan penduduk setempat.

Menurutnya, difahamkan sebelum ini pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah melawat kawasan ini dan berjanji melakukan kerja-kerja mengorek laluan sungai baru merentasi  jalan bagi membina sebuah jambatan baharu.

“Bagaimanapun, penduduk kampung telah menunggu kerja-kerja ini lebih dua tahun,” katanya semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhamad Aiman Aizuddin berkata, fenomena banjir dan tanah runtuh ini bukan sahaja membawa kemusnahan kepada harta benda malah menyebabkan ancaman keselamatan kepada penduduk.

“Keadaan makin membimbangkan apabila bahu jalan yang dahulunya berada pada jarak tiga kilometer kini berkurang hanya kepada satu kilometer akibat runtuhan tanah.

“Isu ini berkaitan aspek keselamatan dan kerugian harta benda penduduk," katanya.

Beliau berharap, pihak JPS dapat menyelesaikan isu ini segera dengan meletakkan sangkar batu bagi mengurangkan kejadian tanah runtuh terutama berhampiran surau dan bahu jalan bagi mengelakkan berlakunya kemalangan jiwa di kawasan terbabit.

“Selain itu, saya juga berharap pihak kerajaan negeri dapat memastikan peruntukan dan tenaga pakar yang secukupnya bagi mengatasi masalah tanah runtuh dan banjit yang menghantui penduduk,” katanya.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com