‘Saya Tak Simpan Dendam’- Pemilik Kedai Bihun Sup Berapi


KEPALA BATAS - Pemilik kedai Bihun Sup Berapi, di sini, sedia bertemu dengan individu yang menyebarkan cerita berkaitan harga bihun sup yang dijualnya mahal.

Isu berkaitan dua bihun sup dengan air teh o ais berharga RM31 ditularkan dalam laman sosial oleh seorang individu dengan mengatakan harga tersebut mahal.

Mengakui kesal dengan perkara itu, Mustafa Razali, 42, berkata, pihaknya sedia bertemu dengan individu berkenaan.

“Pada saya, tindakan menularkan isu ini amat tak kena, saya sedia jumpa dan nak terangkan pada dia.

 “Andai di pihak saya yang tersilap, saya minta maaf, saya bagi semula wang yang dibayarnya, kita tak nak musuh dengan siapa-siapa,” katanya.

Menurutnya, harga bihun sup yang dijual di kedainya bermula RM5 sehingga RM30.

“Kalau bihun sup yang dikatakannya harga RM13.50, sebenarnya bergantung kepada pelanggan, jika tak mau tulang kita letak daging, tapi dalam kuantiti daging yang banyak.

“Dalam hal ini seperti mana yang ditularkan itu, saya tak pasti sama ada dia ada minta tulang atau tidak. Andai dia lihat kesilapan itu pada saya, boleh datang berbincang," katanya.

Katanya, dia tidak menyimpan dendam terhadap tindakan sebegini.

“Saya ambil positif dalam hal ini, pada saya bila jadi tular, saya pandang ia bagaikan satu rezeki yang mana tak tahu tentang kedai saya nanti jadi terkenal.

“Biarlah, andai ada niat yang buruk itu antara dia dengan ALLAH, saya sentiasa terbuka dan serahkan bulat-bulat kepada ALLAH,” katanya.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com