Satu Kes Terbaru Rabies Disahkan Di Daerah Serian

  

Satu kes baru virus rabies atau penyakit anjing gila dikesan di Kampung Ampungan Daerah Serian, Sarawak, menjadikan sehingga kini empat kes kesemuanya yang disahkan menerusi ujian makmal, berlaku di daerah berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes terbaru membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berumur lima tahun yang mempunyai sejarah digigit anjing pada 27 Mei lalu di Kampung Saroban yang terletak dalam 10km radius dari kampung di mana kes ketiga rabies berlaku.

Menurutnya pada 3 Julai lepas, kanak-kanak itu mengalami gejala demam, sakit di lengan kiri serta kelihatan kurang aktif lalu dibawa untuk rawatan ke Hospital Serian, sebelum dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (SGH) pada hari berikutnya, dan ditempatkan di Unit Jagaan Rapi Kanak-kanak (PICU) kerana semakin kritikal.

“Kes ini disahkan mengalami jangkitan virus rabies melalui ujian makmal pada 11 Julai 2017. Bagi kes ketiga jangkitan rabies pula, beliau masih dirawat di wad PICU SGH dan dalam keadaan kritikal,” menurutnya dalam kenyataan di laman web Kementerian Kesihatan malam tadi.

Pada 4 Julai lepas seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dan kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, yang merupakan adik-beradik dari Kampung Paon, Sungai Rimu, Serian, dilaporkan meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak di sini akibat jangkitan virus rabies. 

Dr Noor Hisham berkata Active Case Detection (ACD) bagi mengesan kes gigitan anjing telah dilaksanakan di kawasan kejadian wabak rabies di Daerah Serian oleh Pejabat Kesihatan Serian bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak di 86 penempatan, 3,284 rumah, dan 7,583 orang telah ditemu duga bagi sejarah gigitan anjing.

Menurutnya 92 kes gigitan anjing telah dikesan di kawasan wabak Daerah Serian dan telah diberikan rawatan, dan aktiviti pendidikan kesihatan berkaitan rabies juga diberi kepada penduduk di kawasan berkenaan.

Kenyataan itu turut menasihatkan orang ramai di kawasan berkenaan supaya mendapatkan rawatan segera di klinik kesihatan atau hospital berdekatan sekiranya mengalami gigitan anjing, di samping memastikan anjing peliharaan telah mendapat suntikan anti-rabies di klinik haiwan terdekat dan elakkan kontak dengan anjing liar;

“Jika anjing peliharaan didapati tidak sihat atau berkelakuan agresif dapatkan rawatan segera di klinik haiwan dan laporkan ke Pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar berdekatan,” menurutnya.

Sementara itu Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak dalam kenyataan malam tadi pula memaklumkan bahawa Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah memvaksinkan 1,183 binatang peliharaan di tujuh kampung yang terlibat dengan wabak rabies di Daerah Serian.

Ia adalah Kampung (Kpg) Krait, Kpg Paon Rimu, Kpg Paon Rimu Bakong, Kpg Remun, Kpg Lebor, Kpg Empasa dan Kpg Tong Nibong dan membabitkan 241 anjing, 929 kucing serta 13 haiwan lain.

Menurut kenyataan itu, jabatan berkenaan juga mengadakan 52 kempen kesedaran mengenai wabak rabies di kawasan yang terlibat yang dihadiri 2,736 penduduk. - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com