Sampah Dibuang Sepanjang Jalan Di Pendang Undang Bau Busuk


PENDANG - Penduduk Kampung Belukar, Pendang terpaksa berhadapan dengan masalah bau busuk sampah sarap yang dilonggok di sepanjang laluan kampung mereka oleh pihak luar yang tidak bertanggungjawab.

Penduduk, Mohd Salim Umat, 34, berkata, laluan tersebut adalah laluan utama penduduk untuk keluar ke kedai, sekolah dan sebagainya.

"Penduduk yang lalu jalan ni memang kena tutup hidung sebab bau sampah yang sangat busuk," katanya ketika ditemui di lokasi yang menjadi lokasi pembuangan sampah, kelmarin.

Katanya, sampah yang dilonggokkan sepanjang jalan sejauh 500 meter itu turut mencacatkan pemandangan.

"Pandangan kiri kanan jalan yang cantik dengan kewujudan bukit bukau telah dicacatkan dengan sampah sarap tersebut.

"Malu bila orang mai kampung kami. Depa mesti akan kata kami yang buang sampah tersebut sedangkan orang luar yang tidak bertanggungjawab melakukannya," katanya.

Turut mengakui masalah yang sama, Ahmad Udin Nik Ahmad, 73 berkata pihaknya tidak boleh membuat sebarang aduan kerana tanah yang menjadi tapak pembuangan sampah itu adalah milik persendirian.

Berhampiran jalan tersebut, terdapat tanah perkuburan cina yang sentiasa di penuhi mereka yang datang melawat ahli keluarga mereka.

"Malu bila bangsa lain mai lalu kampung kami, mesti depa ada pandangan buruk berkaitan masyarakat Melayu yang beragama Islam sebab membuang sampah di kawasan jalan utama sedangkan ia bukan perbuatan penduduk," katanya.

Katanya, pihak penduduk kampung sangat berharap mereka yang tidak bertanggungjawab menghentikan kegiatan ini.

"Kasihanilah kami penduduk kampung yang terpaksa berdepan dengan masalah bau busuk ini terutama pada waktu hujan.

"Tambahan pula sekarang musim hujan dan penduduk kampung terganggu dengan bau busuk tersebut," katanya.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com