SADA Selesaikan 80 Peratus Masalah Bekalan Air Di Kedah


ALOR SETAR - Penurunan kadar aduan pengguna air di Kedah sebanyak 80 peratus membuktikan bahawa Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) telah berjaya menyelesaikan lambakan masalah kekurangan bekalan air yang dilaporkan berlaku di negeri tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif SADA, Datuk Abd Ghani@Zulkifli Zainuddin berkata, kecekapan dan kepantasan pihak SADA yang bertindak diatas aduan terutama sekali sepanjang musim perayaan Aidilfitri yang lalu memberi impak yang sangat positif.

“Inilah manifestasi ‘Muafakat Bersama’. Inilah KPI (Petunjuk Prestasi Utama) yang wajar dipertahankan, malah dipertingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri SADA di Menara SADA di sini, semalam.

Turut sama hadir memeriahkan majlis tersebut adalah  Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Mohd Tajudin Abdullah.

Ahmad Bashah turut memuji dan berterima kasih diatas kecekalan warga kerja SADA yang sanggup mengorbankan masa demi menyelesaikan bebanan masalah bekalan air sepanjang musim perayaan lalu.

“Saya hendak berterus-terang raya baru ini, saya ucapkan terima kasih. Dua tiga hari  sebelum raya, dan selepas raya pun saya tidur cukup lena  (tiada masalah  serius berkaitan bekalan air). Ini merupakan  permuafakatan semua orang…kalau semua main peranan kita boleh buat terbaik,” katanya.

Tegasnya lagi,  kerajaan negeri menerusi SADA akan terus mempertingkatkan usaha dalam memenuhi  keperluan rakyat negeri ini bagi memastikan penduduk mendapat bekalan air yang bersih dan mencukupi. - Kedahnews.com



No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com