Rayu Dana RM70,000 Rawat Anak Alami Masalah Jantung


KUALA LUMPUR - Empat pembedahan dalam tempoh lima tahun. Itu yang perlu dilalui bayi berusia 14 bulan bagi memulihkan injap jantung yang bermasalah sejak dilahirkan.

Joelle Lo Rene yang kini ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Gleneagles, di sini, masih bergantung kepada alat bantuan pernafasan dan tiub untuk makan.

Bapanya, Lo Chee Hong, 42, berkata, anak perempuannya itu memerlukan RM70,000 untuk membiayai kos pembedahan injap mitral yang bocor bagi membetulkan fungsi jantung.

“Ini pembedahan kali ketiga anak saya selepas dua pembedahan dalam seminggu ketika dilahirkan. Keadaan anak saya sekarang stabil walaupun sudah sebulan di ICU selepas menghadapi masalah pernafasan Jun lalu.

“Doktor memberitahu pembedahan injap yang bocor itu perlu disegerakan tetapi saya masih buntu kerana setakat ini bil rawatan anak menghampiri RM100,000 dan itu belum termasuk kos pembedahan,” katanya ketika ditemui di Hospital Gleneagles, di sini, semalam.

Katanya, dia kini perlu berulang-alik dari Bukit Rimau ke hospital untuk melihat keadaan anaknya dan bersyukur dengan perubahan yang berlaku.

“Anak saya sudah ceria dan aktif serta berat badan naik. Sebelum ini, anak hanya seberat 4.5 kilogram (kg) selepas dua bulan asyik muntah dan hilang selera makan. Kini, beratnya naik kepada 5.7kg.

“Saya hanya mampu berdoa dan meletakkan kepercayaan kepada doktor yang berusaha sedaya upaya membantu anak saya,” katanya.

Menurut Lo, kos untuk pembedahan memang tidak dapat dicari kerana dia sudah tidak bekerja sejak Januari lalu dan sumber pendapatan hanya datang daripada isteri.

“Sekarang saya masih mencari kerja dan berharap orang ramai boleh memberikan sedikit sumbangan supaya kami dapat melihat anak kami membesar seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Dalam pada itu, Yayasan AEON Malaysia menyampaikan cek bernilai RM10,000 yang diwakili Pengurus Kanan Setiausahanya, Jackie Loo kepada Tabung Kebajikan Media Prima NSTP.

Mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghantar cek atas nama Tabung Kebajikan Media Prima NSTP ke alamat Bahagian Kumpulan Komunikasi Korporat, Media Prima Berhad, Tingkat 1, Anjung Riong, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur dengan nama bayi itu di belakang cek atau ke akaun Maybank 5141-0532-3170.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com