Rampas Permatang Pauh: PAS Jangan Cabar Kesabaran PKR


KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) kesal dengan tindakan PAS mengadakan Program Pelancaran Jentera Pilihan Raya parti itu di Parlimen Permatang Pauh pada 16 Julai lalu.

Naib Presiden PKR, Chua Tian Chang berkata, program PAS itu merupakan satu tindakan provokasi dan angkuh yang tidak membantu dalam usaha menewaskan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Permatang Pauh dikenali umum sebagai kerusi Parlimen yang berkait rapat dengan PKR dan menjadi lambang kebangkitan rakyat melalui gerakan reformasi sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 1999.

“Sejak itu, Parlimen Permatang Pauh telah dimenangi PKR sebanyak enam kali dalam PRU dan Pilihan Raya Kecil (PRK). Sudah tentu PKR sanggup mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh dengan kekuatan sendiri,” tegasnya dalam satu kenyataan media semalam.

Tian Chang berkata, pendirian PAS yang berikrar ingin menawan Permatang Pauh akan dipandang seolah-olah parti-parti pembangkang bertengkaran sesama sendiri.

Kata beliau, sikap PAS itu bercanggah dengan kenyataan pemimpin-pemimpin PAS yang menganggap ia masih sebahagian dari pihak pembangkang yang ingin mengalahkan UMNO dan BN dalam PRU-14.

“Sekiranya PAS bersungguh-sungguh menentang UMNO BN, kepimpinan PAS harus menghentikan segala tindakan yang mencabar kesabaran parti PKR,” katanya.

Kerusi Parlimen Permatang Pauh waktu ini disandang oleh isteri Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden PKR. –Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com