Ramai Tak Yakin Mahathir Sedia Lepas "Jawatan PM" Walau Anwar Bebas


ALOR SETAR - Jika Pengerusi Parti Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad dipilih mengetuai  Pakatan Harapan (PH) ramai yang berpendapat bekas Perdana Menteri 22 tahun itu bakal dicalon sebagai Perdana Menteri sementara (peralihan) andainya PH menang PRU14.

Ramai pula dari pihak pembangkang juga was-was dan mempersoalkan bersediakah Dr. Mahathir melepaskan jawatan itu selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan daripada penjara? 

Hujah mereka, ini berdasar sikap Dr. Mahathir yang tidak konsisten (sering membuat U-turn) semasa berada di dalam UMNO dan mahu pun ketika  berada di dalam kem pembangkang.

Sebelum ini Dr. Mahathir tidak menyokong Anwar untuk dicalon sebagai Perdana Menteri kerana kedudukan Anwar terikat dengan hukuman penjara.

Semasa berada di London baru-baru ini, Dr. Mahathir berkata beliau kembali menyokong Anwar seperti mana dilaporkan sebuah media asing, namun kemudiandinafikan oleh Dr. Mahathir. 

Imbas kembali, Dr. Mahathir juga pernah mengumumkan untuk melepaskan jawatan Presiden UMNO dan Perdana Menteri semasa Perhimpunan UMNO kira-kira  15 tahun lalu (sambil menangis terisak-isak) namun beliau kembali mengubah pendiriannya setelah dipujuk oleh beberapa pemimpin UMNO.

Begitu juga semasa menjadi ahli biasa UMNO selepas bersara, beliau meninggalkan UMNO ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambillih kuasa dan kembali semula (menjadi ahli UMNO) semasa Datuk Seri Najib Razak menerajui parti itu dan kepimpinan negara.

Namun Dr. Mahathir yang tidak bersetuju dengan Najib kembali  meninggalkan UMNO dan menubuhkan PPBM bagi menggulingkan parti yang pernah mengangkat dan menjulang namanya itu.  
Sementara itu portal propembangkang (Malaysiakini) semalam juga membayangkan bahawa Anwar 'bersetuju'  Dr Mahathir  diberi peranan utama dalam gabungan pembangkang  itu, mungkin sebagai pengerusi sementara beliau (Anwar) masih di penjara.

Struktur organisasi PH yang terdiri daripada pemimpin utama dari   PKR, PPBM, DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) dikatakan  sudah hampir selesai ekoran rundingan mereka kini dikatakan berada di peringkat terakhir setelah sekian lama tidak mencapai kata putus bagi melantik seorang ketua.

Sekiranya PH berjaya membentuk kerajaan, Anwar yang sedang menjalani hukum penjara lima tahun dijanjikan dibebas dan diberi keampunan atas kesalahan meliwat walaupun diputuskan bersalah oleh makhamah.

Menurut Malaysiakini lagi, sumber itu  juga mendedahkan bahawa seorang perantara telah bertemu dengan Dr Mahathir dan Anwar secara berasingan bagi mencari  resolusi antara kedua pihak.

Baru-baru ini anak Anwar, Nurul  Izzah yang juga Naib Presiden PKR, Nurul Izzah dilaporkan 'berunding' dengan Dr. Mahathir semasa bekas Perdana Menteri itu sedang bercuti dan berhari raya di London. 

Namun tidak dapat dipastikan adakah Nurul Izzah perantara yang dimaksudkan untuk bertemu Dr. Mahathir dan Anwar bagi  merungkai masalah besar yang masih  'membelit'  kedua bekas pemimpin negara yang bermusuhan sejak 1998 itu. 

"Jika tidak penting, mana mungkin Nurul Izzah terbang jauh bagi menemui Dr. Mahathir di London," kata satu sumber lagi.

Pakatan kini dikatakan dalam keadaan 'tertekan' untuk mecari peneraju PH memandangkan Perdana Menteri dijangka membuat pengumuman 'mengejut' bagi membubarkan parlimen untuk membuka laluan kepada  PRU14.

Difahamkan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan akan diadakan dalam masa terdekat iaitu hari Khamis atau Jumaat ini.

Nurul Izzah ketika ditanya oleh wartawan Malaysiakini mengenai perkara itu membayangkan bahawa barisan kepimpinan PH akan dapat diselesaikan minggu ini.

Ini juga termasuk persetujuan menggunakan satu logo bagi semua parti pembangkang yang gagal dimuktamadkan beberpa kali sebelum ini. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com