Ramai Golongan Muda Dijangkiti HIV


SHAH ALAM - Kadar jangkitan HIV dalam kalangan generasi muda bawah umur 29 tahun dikatakan semakin meningkat dalam tempoh tujuh tahun kebelakangan ini.

Perangkaan itu menunjukkan pada 2009, seramai 807 orang disahkan dijangkiti HIV dan jumlah itu meningkat kepada 1,474 orang pada tahun lalu.

Malah, sepanjang tahun lalu juga, daripada 3,397 yang mengidap HIV positif, seramai 2,864 orang adalah menerusi hubungan seks.

Presiden Majlis Aids Malaysia, Bakhtiar Talhah berkata, golongan muda hari ini yang mengamalkan hubungan seks sebelum melangsungkan perkahwinan, menjadi punca mereka begitu mudah dijangkiti HIV.

“Sama ada hubungan seks sejenis (homoseksual) atau bukan sejenis, punca utama jangkitan HIV adalah menerusi hubungan seks.

“Mereka mengamalkan hubungan seks rambang secara tidak selamat ataupun mengamalkan hubungan seks secara bebas,” katanya kepada Oriental Daily.

Beliau berkata, 10 tahun lalu, 90 peratus penghidap HIV berpunca daripada suntikan dadah.

“Ramai daripada mereka menganggap tidak akan hadapi sebarang risiko dijangkiti Aids, tetapi pada hari ini, punca utama jangkitan adalah menerusi hubungan seks.

“Sesetengah orang memilih tidak menggunakan kondom ketika melakukan hubungan seks walaupun menyedari mempunyai risiko dijangkiti HIV,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com