Pulau Pinang, Selangor, Kelantan Tak Sokong Kempen Perangi Rasuah?


KUALA LUMPUR - Para pemimpin pembangkang sering bercakap soal memerangi rasuah dan kerap kali mendakwa pemimpin kerajaan melakukan penyelewengan.

Namun bagi tiga negeri yang ditadbir oleh parti pembangkang - Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan masih belum menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sedangkan negeri lain  telah pun menyahut saranan  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu.

Sehingga kini tiada sebarang komitmen ditunjukkan oleh kerajaan negeri-negeri berkenaan, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad pada sidang akhbar selepas merasmikan program Gerakan Revolusi Antirasuah (Gerah) di Hospital Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ini kerana selepas tiga bulan Gerah dilancarkan oleh SPRM semua negeri kecuali iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan telah menandatangani ikrar tersebut.

Program IBR adalah bersifat sukarela bagi melihat keprihatinan semua kerajaan negeri dalam memastikan pentadbiran di negeri masing-masing bebas rasuah dan salah guna kuasa.

“Kerajaan negeri perlu menunjukkan contoh daripada semua peringkat kerana menerusi IBR, ia membuktikan komitmen sesebuah institusi sebagai salah satu usaha untuk memerangi rasuah,” katanya.

Sehubungan itu, Dzulkifli berharap dalam tempoh tiga tahun, Gerah akan mewujudkan masyarakat menjadi lebih berani, benci kepada rasuah dan salah guna kuasa serta bangun menentang rasuah bersama SPRM.

Dalam pada itu, SPRM turut melancarkan satu lagi Kempen 3J (Jangan Huloq, Jangan Kawtim dan Jangan Settle) sempena pendekatan turun padang bersama rakan strategik media. 

Di Kedah,   Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah mengetuai sembilan Exco serta tiga ex-officio kerajaan negeri melafaz setiap dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah pada Februari lalu.

Tiga pegawai tinggi kerajaan negeri yang turut menandatangi ikrar tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Bakar Din,   Pegawai Kewangan, Datuk Mohd. Fuzi Mohaidin dan Penasihat Undang-Uundang, Datuk Nor Azura Mohammed Zohdi. - Kedahnews.com.

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com