Pulang Berniaga Rumah Jadi Abu


BUKIT BERUNTUNG - Tujuh sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah kedai didiami mereka di Kampung Sungai Buaya, di sini, musnah dalam kebakaran, baru-baru ini.

Dalam kejadian jam 5.57 petang, semua mangsa tiada di rumah kerana berniaga di pasar malam Bukit Sentosa dan hanya mengetahuinya daripada jiran yang menghubungi mereka.

Selain semua barangan dalam rumah itu menjadi abu termasuk barangan kemas, kereta Proton Wira dan tiga motosikal turut musnah.

Mangsa, Laila Ashaari, 44, berkata, ketika kejadian dia sekeluarga berniaga di pasar malam berdekatan.

“Saya terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada jiran yang memaklumkan rumah kedai kami terbakar,” katanya.

Menurutnya, kebakaran turut memusnahkan barangan peribadi, dokumen penting dan barangan perniagaan yang keseluruhannya dianggarkan RM250,000.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu Kamil Hamadan berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan jam 6.03 petang.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca sebenar kejadian masih disiasat,” katanya.

Semua mangsa kini ditempatkan sementara di Pejabat UMNO Cawangan Sungai Buaya dan menerima bantuan kit bencana daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Semalam, keluarga mangsa turut menerima sumbangan wang tunai daripada Ahli Parlimen Hulu Selangor Datuk P Kamalanathan yang hadir menziarah pusat pemindahan itu.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com