Pukul Isteri Sarat Hamil, Suami Dipenjara


KUALA LUMPUR - Akibat memukul isteri yang sarat hamil sembilan bulan kerana berang wanita itu pergi ke asrama dihuninya tanpa kebenarannya, seorang eksekutif jualan dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, Selasa.

Majistret Mahyudin Mohmad Som menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhamad Nor Idzwan Shaharudin, 25,  selepas dia mengaku bersalah mencederakan isterinya yang berumur 26 tahun, dengan memukul badan, menendang dan menampar muka wanita itu  beberapa kali.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap iaitu semalam (17 Julai).  Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di asramanya di Brickfields di sini, pada 2 pagi, 12 Julai lalu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun.

Semasa ditanya majistret  mengapa dia bertindak sedemikian terhadap isterinya, tertuduh berkata  "saya tidak dapat mengawal kemarahan".  Terdahulu tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia menanggung kedua-dua ibu bapanya.

"Jika saya dipenjara dua tahun, saya akan kehilangan kerja… saya menanggung kedua-dua ibu bapa saya," katanya.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian suri rumah itu  pergi ke asrama suaminya untuk mengambil barang-barang miliknya dari kereta suaminya dan suaminya yang tidak berpuas hati mangsa pergi ke asramanya tanpa kebenaran, bertindak kasar dan mengeluarkan kata-kata kesat sebelum menghalaunya keluar dari asrama berkenaan dan mangsa pulang ke rumah ibu bapanya di Negeri Sembilan.

Hasil siasatan juga mendapati, mangsa tidak tinggal bersama suaminya sejak tiga bulan lalu dan dia mula dipukul oleh suaminya sejak kandungan berusia tiga bulan. Mereka berkahwin pada September tahun lepas.– Bernama 

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com