PRU14: PAS Kedah Tak Beri Peluang, Tanding 36 Dun 15 Parlimen


ALOR SETAR - PAS Kedah mahu 'sapu bersih' kerusi pembangkang di negeri Kedah dalam  Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) untuk mencabar Barisan Nasional dan enggan memberi ruang langsung kepada parti-parti  komponen Pakatan Harapan (PH).

Keputusan PAS untuk 'membolot' semua 36 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 15 kerusi Parlimen bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara BN dengan PAS dan parti PH yang terdiri DAP, PKR, PAN dan PPBM).  

Pada PRU13, PAS yang berada dalam Pakatan Rakyat (PR) bersama DAP dan PKR, bertanding 24 kerusi DUN serta lapan kerusi Parlimen. Parti itu menang sembilan daripada kerusi DUN serta satu kerusi Parlimen (Pokok Sena).

PAS berhasrat untuk menawan semula Kedah pada PRU ini tanpa sokongan PKR dan DAP, malah ia akan ditentang hebat oleh parti serpihannya, Parti Amanah Negara (PAN).

Peluang PAS (menguasai Kedah) bagaimanapun agak samar kerana PAN, PKR, DAP serta PPBM juga tidak akan memberi ruang setelah PAS mengambil keputusan muktamad memutuskan kerjasama politik dengan parti-parti berkenaan.

Pertembungan PAS dengan parti daripada gabungan pembangkang itu dijangka memberi kelebihan kepada BN untuk mempertahankan Kedah atau menawan semula kerusi yang kalah kepada pembangkang  pada PRU akan datang

Bagaimanapun Pesuruhjaya PAS Kedah Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi berkata keputusan muktamad mengenai jumlah kerusi yang akan ditandingi itu tertakluk kepada kehendak PAS pusat.

 "Keputusan PAS Kedah untuk bertanding semua kerusi dibuat berdasarkan  senario politik kini yang berbeza dengan PRU lalu serta kesan pengisytiharan DAP bahawa Pakatan Rakyat telah berkubur dan tindakan PKR yang sering membelakangkan tahaluf siyasi ketika bersama PAS, " katanya selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri PAS di sini semalam.

Lagi pun, kata Ahmad Fakhruddin adalah menjadi tradisi PAS untuk meletakkan calon bagi kerusi majoriti Melayu menentang  BN, namun pada kali ini PAS akan cuba meneroka kerusi majoriti 60 peratus Melayu atau meletakkan calon Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) di kawasan yang berpotensi.

Beliau berkata PAS akan menampilkan calon terdiri daripada golongan profesional, sekaligus menonjolkan imej parti itu yang bukan hanya terdiri daripada kumpulan ulama atau ahli agama sahaja.

Mengenai senarai calon PAS pula, beliau memberitahu,  mereka  terdiri daripada 50 peratus muka lama dan 50 peratus muka baharu. Nama mereka telah dihantar kepada Majlis Syura Ulama sebelum dimuktamadkan," katanya.- Kedahnews.com.

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com