"PPBM Ni Parti Baharu, Nak Ajar PAS Pulak...", Idris Nasihat Mahathir


KOTA BHARU - Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad dinasihatkan supaya belajar menjadi pembangkang terlebih dahulu sebelum mengajar PAS bagaimana mahu memainkan peranan sebagai pembangkang.

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad berkata, Dr. Mahathir sepatutnya sedar bahawa beliau dan partinya baharu sahaja menjadi pembangkang berbanding PAS yang sudah 13 kali terlibat dalam Pilihan Raya Umum (PRU).

Justeru, Idris yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang menyangkal dakwaan bekas Perdana Menteri itu bahawa PAS akan menjadi punca pembangkang tidak berjaya menewaskan Barisan Nasional (BN) dalam PRU nanti.

“Teori Dr. Mahathir kata kalau pembangkang tidak menang kerusi dalam pilihan raya adalah kerana gangguan daripada PAS.

"Kamu ini parti baharu sehari dua ditubuhkan, tetapi nak kata PAS ganggu pula.

“PAS bukan baru jadi pembangkang. Dr. Mahathir kena belajar jadi pembangkang...nak belajar jadi pembangkang kena lihat kehebatan PAS. Selama 13 kali PRU, sekali sahaja kita tidak lawan UMNO.

Malah, jadi Perdana Menteri selama 22 tahun pun kita lawan beliau,” kata­nya ketika menyampaikan kuliah pagi Jumaat di Medan Ilmu, di sini Jumaat kelmarin

Idris dalam pada itu berkata, persaingan merebut teras politik iaitu undi orang Melayu yang menjadi kuasa penentu kerajaan memerintah adalah di antara PAS dan UMNO sahaja, bukan parti baharu seperti PAN dan PPBM.

Beliau juga berkata, PAS bersama sekutunya dalam Gagasan Sejahtera akan bertan­ding lebih daripada 120 kerusi dalam PRU-14 dan bakal mengeluarkan manifesto selepas mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat pada Ogos nanti.

“Politik Malaysia ini sebenarnya antara PAS dan UMNO sahaja, sekarang pula musim orang tolak MCA dan Gerakan manakala DAP pula akan kekal mendapat sokongan orang Cina tidak kira sama ada mereka dalam Pakatan Harapan atau tidak,” katanya lagi.

Sumber: Utusan

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com