Pokok Karas Semakin Pupus


GERIK - Sorja Tan mengimbau kembali pengalaman betapa mudahnya suatu ketika dahulu menjumpai pokok karas yang tumbuh di hutan simpan kekal dekat sini.

Sekarang, ada hari-hari dia meninggalkan hutan selepas hari yang panjang dengan hanya tangan kosong.

"Pada masa lalu, jika anda masuk ke dalam hutan, pokok karas bukan satu benda asing. Anda boleh menemuinya dekat antara satu sama lain. Sekarang, hanya beberapa pokok yang tinggal," kata jejaka berusia 22 tahun dari suku Temiar itu yang tinggal berdekatan.

Pokok karas atau nama saintifiknya, Aquilaria Malaccensis antara puluhan ribu pokok yang menjadi buruan di hutan negara ini kebanyakannya oleh warga asing kerana mengeluarkan gaharu yang berharga.

Satu kilogram gaharu boleh didapati pada harga antara RM4,000 dan RM20,000 manakala kayu karas raciknya yang digunakan dalam pembuatan minyak wangi dan kemenyan berupaya menjana pendapatan RM26 bilion secara global setiap tahun.

Keunikan dan nilai minyak gaharu menyebabkan peniaga mengelar ia sebagai 'cecair emas'.

Malah orang ramai turut menebang mahupun menanam pokok karas untuk mendapatkan keuntungan.

Tan turut menyatakan kebimbangan mengenai kepupusan spesies tersebut.

Pada masa sama, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) berkata trend itu turut mengancam kepupusan pokok karas di negara ini.

Pada 2004, Inventori Hutan Nasional menganggarkan terdapat kira-kira 3.06 juta pokok karas yang tumbuh meliar.

Menurut data terkini Jabatan Perhutanan, jumlah itu menurun kepada lebih 1.16 juta pada hari ini.

Permintaan tinggi terhadap pokok karas amat memberangsangkan.

Susulan itu, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata ladang penyelidikan telah diceroboh pembalak haram yang mencuri 40% daripada pokok karas yang ditanam.

Namun, kementerian tidak melihat penurunan populasi pokok karas sebagai suatu yang membimbangkan.

Pokok karas menghasilkan gaharu sebagai tindak balas apabila ditebang atau dilukakan sama ada oleh serangga atau jangkitan bakteria dan disambar kilat.

Gaharu bertindak sebagai mekanisme pertahanan untuk pokok sama seperti sel darah putih dalam tubuh manusia, kata penyelidik FRIM, Mohd Noor Mahat yang juga pakar dalam pokok karas.

Malaysia mempunyai kira-kira 2,000 hektar pokok karas di mana petani sengaja melukai pokok tersebut untuk menghasilkan gaharu.

Namun ia memerlukan sekurang-kurangnya lima tahun sebelum mana-mana hasil gaharu boleh dituai.

Jabatan Perhutanan berkata kartel gaharu sudah lama wujud dan menuai hasil pokok karas di sini sejak lewat tahun 80-an.

Kebanyakan warga asing dari Thailand, Kemboja, Indonesia dan Filipina menuai gaharu dan menyeludupnya ke Singapura, Thailand dan Indonesia.

Mohd Noor berkata persaingan di antara kartel menjadi sengit, mereka mula menggunakan senjata di dalam hutan dan bergaduh antara satu sama lain.

"Perkara paling teruk adalah hanya sebilangan kecil pokok karas menghasilkan gaharu. Mereka menebang mana-mana pokok dan hanya mendapat sedikit gaharu daripada setiap pokok yang ditebang. Selebihnya mati begitu sahaja," katanya.

Walaupun terdapat usaha untuk menanam semula pokok karas dan menguatkuasakan larangan penebangan pokok tersebut secara haram, Mohd Noor percaya nilai pokok yang ditebang lebih tinggi.

"Ada kemungkinan ia boleh pupus. Kita masih belum mengkaji impak alam sekitar tetapi ini bermakna genetik pokok karas tidak lagi wujud dan sumber ubatan serta penjanaan ekonomi menerusi gaharu akan lenyap," katanya.

Sumber: Mstar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com