PKR Tetap Mahu Anwar Jadi Pemimpin Nombor Satu Pakatan Harapan


ALOR SETAR -  Parti Keadilan Rakyat (PKR) seolah-olah tidak dapat 'menerima keahadiran' Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai pemimpin utama bagi  menerajui gabungan parti pembangkang ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim masih berada di dalam penjara bagi menjalani hukuman kes liwat yang dihadapinya.

Parti itu dalam satu kenyataan media dan disiarkan oleh Keadilan Daily menyebutkan Dr. Mahathir yang juga pengerusi parti baharu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hanya sebagai 'pembantu' kepada Anwar yang dilantik sebagai Ketua Umum Pakatan Harapan.

Anwar yang juga Ketua Umum PKR masih diletakkan sebagai pemimpin nombor satu gabungan itu walaupun tidak layak bertanding pada PRU akan datang jika pun beliau dibebaskan.

"Anwar dinamakan sebagai Ketua Umum Pakatan Harapan dan akan dibantu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Presiden Pakatan Harapan, " kata laporan portal PKR itu.

Kenyataan media tersebut ditandatangani Dr Mahathir, Wan Azizah, Presiden PAN, Mohamad Sabu, Presiden Parti PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan pemangku Pengerusi DAP, Tan Kok Wai.

Menurut laporan Malaysian Digest pula, sekali pun Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke 14, ia tidak akan tergesa-gesa melepaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada penjara, kata Dr Mahathir.

Pengerusi Pakatan Harapan itu juga tidak menolak kemungkinan beliau diangkat sebagai Perdana Menteri semula sekirannya gabungan itu menawan Putrajaya dan menegaskan Anwar hanya akan menjadi “Perdana Menteri ke lapan.”

Dr Mahathir berkata jika pakatan pembangkang memenangi PRU 14, usaha akan dibuat untuk Anwar memperolehi pengampunan daripada Yang di Pertuan Agong, namun ia bukan perkara utama.

"Dia akan dibebaskan dengan usaha perdana menteri yang terdahulu daripadanya, dan kita akan pohon supaya dia dapat pengampunan diraja dan selepas itu kita akan lalui proses undang-undang.

" (Namun) bukan dengan segera kerana Perdana Menteri yang akan ambil alih ini mempunyai tugas yang banyak. Sebab itu kita sebut di sini banyak perkara yang perlu disegerakan," katanya.

Anwar kini menjalani hukuman penjara setelah disabitkan ke atas kesalahan sodomi untuk kali kedua dan tidak layak untuk bertanding pada PRU 14.

Mahathir ditanya bertubi kali sama ada beliau melihat dirnya sebagai perdana menteri ketujuh negara jika pembangkang menang PRU 14 namun beliau mengelak daripada memberi jawapan jelas.

"Yang itu kita akan isytihar tak lama lagi. Nombor tujuh akan kita isytihar tapi hari ini kita isytihar nombor lapan (Anwar) sahaja," ujarnya Khamis lalu selepas mesyuarat empat jam Pakatan Harapan yang melantik beliau sebagai pengerusi dan Anwar selaku Ketua Umum gabungan empat parti itu. 
Perdana Menteri yang akan kita dilantik itu mempuhyai tugas yang berat, kata Dr. Mahathir yang enggan menjawabnya secara jelas.- Kedahnews.com


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com