Pihak MPT Menyamar Untuk Tangkap Individu Buang Sampah Secara Haram


TAIPING - Jabatan Kebersihan dan Kesihatan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) kini giat mengadakan operasi melalui satu unit khas penyamaran bagi mengesan pihak membuang sampah haram di beberapa kawasan di daerah ini.

Pengarah Jabatan Kebersihan dan Kesihatan MPT, Ami Faizol Yaakub berkata, pesalah yang ditangkap akan dikenakan kompaun RM250 hingga RM500 bagi setiap kesalahan.

"Sehingga kini seramai 45 individu termasuk syarikat telah dikenakan tindakan,” katanya.

Beliau berkata, MPT memandang serius isu sampah kerana boleh memberi impak negatif kepada persekitaran dan kebersihan kawasan setempat.

Katanya, keadaan itu berpunca daripada sikap segelintir masyarakat yang membuang sampah merata-rata dan mengakibatkan berlakunya timbunan sampah haram.

“Keadaan ini memberi kesan buruk terhadap industri pelancongan, selain menyebabkan persekitaran berbau busuk dan tidak cantik.

“Lebih membimbangkan apabila menularnya wabak penyakit seperti taun dan denggi yang turut mencatat jumlah kes tertinggi di daerah ini,” katanya selepas Operasi Sampah Haram, di sini, semalam.

Ami Faizol berkata, masalah sampah haram berpunca daripada sikap melonggokkan sampah di bahu jalan atau tempat awam.

“Masalah ini dapat diselesaikan jika orang ramai membuang sampah di tong sampah besar disediakan.

"Sampah seperti kaca, plastik dan kertas yang boleh dikitar semula dikumpul dan dijual di pusat kitar semula," katanya.

Menurutnya, orang ramai diminta mengambil gambar dan mencatat nombor kenderaan pembuang sampah haram serta menyalurkan maklumat kepada pihaknya.

“Amalan kebersihan saranan agama dan kita perlu mendidik diri dan keluarga agar tidak membuang sampah merata-rata,” katanya.

Antara kawasan dikenal pasti ialah Taman Kamunting Jaya, Jana Utama, Jana Jaya, belakang Sekolah Kebangsaan (SK) Long Jaafar, Kampung Jana, Lorong 12 Kampung Pinang, Kampung Birch, Taman Yayasan, Lorong 25 Taman Mewah, Jalan Kampung Rahmat, belakang SMK Darul Ridzuan, Asam Kumbang, Kampung Boyan, dan Taman Pertama.

Turut tersenarai Jalan Aulong Lama, Jalan Kampung Benggali, Paduka Setia, depan SMK Taman Panglima, Perusahaan Tupai, Taman Setia, Jalan Saw Ah Choy, Taman Mas Jalan Air Kuning, tepi sungai Pejabat Pos Pokok Assam,  Taman Damai, Taman Ria, Taman Sungai Mas, Kuala Sepetang dan Batu 2 1/2.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com