Pesakit Disyaki Dijangkiti Rabies Masih Dipantau Di Hospital Melaka


JASIN -Kanak-kanak 6 tahun di Melaka yang disyaki terkena jangkitan virus rabies, atau anjing gila, masih ditempatkan di hospital untuk menerima rawatan dan pemantauan rapi.

Timbalan Exco Kesihatan Datuk Ng Choon Koon berkata, bagaimanapun, tahap kesihatan kanak-kanak berketurunan Bidayuh yang berada di Hospital Melaka itu dilaporkan stabil.

"Setakat ini, pesakit stabil dan kita masih menunggu laporan pakar sama ada pesakit ini dijangkiti (rabies) atau tidak.

"Setakat ini, saya minta semua pihak untuk tidak tularkan (kes ini) kerana kita tak perlu situasi panik yang tidak diingini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program pelancaran Skuad Elite Jiran Wanita (Sejiwa) KRT Taman Bemban Utama, di Bemban, dekat sini, pada Ahad.

Ng berkata, kanak-kanak itu kini ditempatkan di wad kanak-kanak biasa dan hanya akan dibenarkan pulang selepas ujian kesihatan ke atasnya, dijangka diketahui dalam tempoh terdekat, didapati negatif.

Ujarnya, memandangkan kanak-kanak itu masih belum disahkan positif jangkitan virus yang menyebabkan tiga meninggal dunia di Sarawak baru-baru ini, masyarakat diminta untuk tidak panik.

Mengulas lanjut, Ng menyeru masyarakat yang ada terkena gigitan anjing dan terdapat tanda-tanda jangkitan anjing gila agar segera ke hospital berdekatan bagi membuat pemeriksaan.

Dalam pada itu katanya, Jabatan Veterinar Melaka juga giat membuat pemeriksaan ke atas anjing liar yang ditangkap bagi memastikan bebas daripada virus rabies.

Rabu lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dimasukkan ke Hospital Melaka selepas dilaporkan mengalami demam dan selesema.

Dia didakwa terkena jangkitan ketika pulang ke kampung di Serian, Sarawak bulan lalu.

Sumber: Astro Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com