Pencipta Sebenar Nama Proton Saga Terpilih Jadi Tetamu Allah Tunai Haji


SUNGAI PETANI – Ismail Jaafar, pencipta nama kereta nasional pertama Malaysia, Proton Saga, teruja apabila turut terpilih antara mereka yang dapat mengerjakan ibadah haji tahun ini.

Ismail, 70, yang memenangi peraduan mencipta nama kereta buatan Malaysia itu pada 1985 berkata, dia sentiasa berdoa bahkan saban tahun mengemukakan rayuan agar namanya dan isteri, Sariah Abdul Rahman, 68, tersenarai.

“Alhamdulillah, pada hari raya yang keenam lalu, saya menerima panggilan telefon daripada pihak Tabung Haji, memaklumkan bahawa kami berdua disahkan sebagai terpilih untuk ke Tanah Suci.

“Perasaan kami memang terlalu gembira, sepatutnya giliran kami lagi dua tahun, tetapi atas faktor usia, kami mahu segera ke sana,” kata anggota pesara tentera tersebut.

Dia ditemui pemberita pada majlis pelepasan jemaah haji daerah Kuala Muda ke Kursus Perdana Haji, di Masjid Sultan Mudzaffar Shah, di sini, kelmarin.

Ismail yang berasal dari Pulau Pinang dan kini menetap bersama isterinya di Taman Nuri Jaya di sini, berdoa agar dia dan isteri diberi kesihatan yang baik sepanjang berada di Tanah Suci.

“Selain usia yang semakin meningkat, saya juga ada penyakit kencing manis, yang menyukarkan saya berjalan, namun saya berharap agar urusan ibadah kami dan jemaah lain berjalan lancar,” katanya.

Ismail yang bersara sejak lebih 20 tahun lalu, sebelum itu merupakan Staf Sarjan dengan jawatan terakhir disandang ialah sebagai Ketua Kerani di sebuah sekolah tentera (Kor Perkhidmatan) di Taiping, Perak.

Nama Proton Saga terpilih daripada keseluruhan 102,823 penyertaan yang diterima Perusahaan Otomobil Nasional (Proton) selaku penganjur, dan pelancaran edisi pertama kereta nasional disempurnakan Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada 1 September 1985.

Terdahulu, anggota Dewan Negara Senator Datuk Shahanim Mohamad Yusoff yang menyempurnakan majlis pelepasan jemaah haji berkenaan, berkata semua harus bersyukur kerana sistem pengurusan jemaah haji oleh Lembaga Tabung Haji  adalah yang terbaik dan jemaah dapat beribadah dengan selesa.

“Saya berdoa agar 407 jemaah haji dari daerah ini dan jemaah haji dari seluruh negara, dapat mengerjakan ibadah haji dengan sempurna dan beroleh haji yang mabrur,” katanya. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com