Pendawai Dijel 30 Bulan Seludup Migran Myanmar Di Alor Setar


ALOR SETAR - Seorang pemuda berusia 27 tahun dijatuhi hukuman penjara selama 30 bulan atas kesalahan menyeludup dua migran warga Myanmar, Disember tahun lalu.

Rohaizam Ramli, bekerja sebagai pendawaian dijatuhi hukuman oleh  Mahkamah Tinggi di sini semalam selepas mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Hashim Hamzah.

Tertuduh melakukan kegiatan pengeludupan migran ke atas Min Nyut, 33, dan Min Win Hilaing, 27, di KM 1.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, Bukit Kayu Hitam pada 7 Dis tahun lalu, pukul 8.45 pagi.

Sebelum ini tertuduh didakwa dibawah Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Imigresen Malaysia Qatrin Nada Harun membuat permohonan agar hukuman sewajarnya dikenakan selaras dengan keseriusan kerajaan dalam memerangi aktiviti penyeludupan dan pemerdagangan manusia melalui beberapa pindaan dalam akta berkenaan.

Bagaimanapun, peguam bela tertuduh Burhanudeen Abdul Wahid memohon agar hukuman diringankan memandangkan ianya kesalahan pertama anak guamnya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com