Peminat Kedah Pertikai Tiada Siaran Langsung Di Stadium Darul Aman


ALOR SETAR - Rata-rata peminat bolasepak Kedah mempertikaikan tindakan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) yang meminta penyiar rasmi Liga Malaysia tidak menyiarkan perlawanan secara langsung Kedah bertemu Selangor di Stadium Darul Aman kelmarin.

Pengulas sukan, Jasni Shafie mendakwa dirinya dihujani dengan pelbagai pertikaian peminat bolasepak negeri tersebut yang menyifatkan bahawa tindakan tersebut adalah tidak wajar.

Menurut Jasni, pasukan Kedah kini berada di kelompok teratas liga, ekoran itu pasukan itu sering menjadi pilihan dan tumpuan bukan sahaja peminat Kedah tetapi negeri lain juga.

"Ramai peminat bola bertanya saya tentang isu ini. Nak jawab nanti ada yang  terasa hati. YB Pak Tam Aminudin (Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar) adalah sahabat lama saya. Dia mungkin mendapat nasihat atau pandangan yang tidak tepat," katanya yang dipetik melalui facebook rasminya.

Tambahnya, Kedah sepatutnya berbesar hati kerana pasukan bolasepak negeri tersebut menjadi tumpuan dan disebut-sebut.

"Soal cemburu atau mereka menonton sambil harapkan Kedah kecundang adalah soal lain kerana sebagai pasukan hebat sudah tentulah ramai yang cemburu," katanya.

Selain itu, Jasni turut menyifatkan pemilihan Darul Aman sebaga venue siaran langsung tiga perlawanan berturut-turut mungkin secara kebetulan kerana Kedah pastinya menjadi tumpuan disebabkan mereka adalah penyandang juara.

"Kemerosotan penonton ke Stadium Darul Aman mungkin berpunca beberapa faktor. Antaranya poket sikit 'kempis' lepas raya, cuaca hujan yang tidak menentu dan saingan Piala Malaysia baru nak panas.

"Ada langkah tertentu boleh difikirkan untuk tambah pendapatan KFA di kala pasukan sedang melonjak ini. Jadi, langkah melarang siaran langsung bukanlah sesuatu yg tepat buat masa ini kerana yang menontonnya bukan hanya penonton di Kedah sahaja," katanya.

Namun begitu, penjelasan telah pun dibuat oleh Aminuddin menerusi satu kenyataan media dan meminta penyiar rasmi Liga Malaysia menunda siaran langsung pada perlawanan akan datang.

Isu berkenaan perkara tersebut tidak wajar diperbesarkan dan  pihak KFA berharap gar penyokong Hijau Kuning sentiasa berdiri teguh di belakang pasukan kesayangan mereka. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com