Pemilik Kesal JPV Lewat Maklum Punca Anjing Mati


TAIPING – Pemilik anjing yang mati kerana positif rabies di Kuala Sepetang melahirkan kekesalan terhadap Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak kerana lewat memaklumkan punca sebenar kematian haiwan peliharaannya itu kepadanya.

Wanita itu yang hanya ingin dikenali sebagai Ooi, 40, berkata sebaliknya dia sekeluarga mengetahui perkara tersebut daripada rakannya yang menonton siaran berita kelmarin.

“Sepatutnya jabatan berkenaan beritahu saya sendiri sebelum melaporkan kepada media kerana kesannya menyebabkan saya dan keluarga menerima banyak gangguan daripada orang luar bertanyakan hal tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya semalam.

Katanya JPV menghubunginya kelmarin dan memberitahu akan datang ke rumahnya semalam untuk memaklumkan perkara itu.

“Saya rasa anjing saya mungkin diserang oleh anjing lain kerana sebelum ini anjing itu tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda penyakit lain,” katanya.

Anjing itu mati pada 13 Julai lepas, lapan hari setelah menggigit dua kanak-kanak perempuan masing-masing berumur 11 dan 12 tahun dengan seorang daripadanya adalah anak Ooi sendiri.

Dua kanak-kanak itu dilaporkan dalam keadaan sihat dan Ooi berkata kedua-duanya juga ke sekolah seperti biasa semalam.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu Perak Datuk Dr Mah Hang Soon mengesahkan kedua-dua kanak-kanak itu sihat serta tidak mempunyai tanda-tanda dijangkiti rabies atau penyakit anjing gila selepas digigit pada 4 Julai lepas. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com