Pemilihan Semula CEC: DAP Dinasihat Henti Salahkan RoS


ALOR SETAR - DAP disaran berhenti menyalahkan Jabatan Pendaftar Pertubuhan  (ROS) dan Barisan Nasional (BN) sebaliknya segera menjalankan semula pemilihan parti bagi melantik 20 ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).

Pengerusinya Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, sudah menjadi kebiasaan DAP terutamanya kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan parti itu meletakkan kesalahan pada orang lain jika berlaku bencana, malapetaka atau perkara yang tidak baik.

"Apa sahaja yang berlaku di Penang mereka salahkan BN, UMNO dan agensi kerajaan. Ini sudah sinonim dengan DAP. Benda tak baik mereka salahkan orang lain dan yang baik pula diakui mereka punya. Jadi, berhentilah daripada menyalahkan ROS.

 ROS adalah satu agensi kerajaan yang mengadakan tatacara dan peraturan seperti yang termaktub dalam undang-undang," katanya seperti mana yang dilaporkan Bernama.
Zainal Abidin berkata ROS tidak pernah pilih kasih dan perkara sama pernah berlaku pada beberapa UMNO cawangan yang tidak mengikut peraturan yang ditetapkan.

"UMNO sendiri ada 700 cawangan di Pulau Pinang dan 20,000 cawangan seluruh negara. Setiap tahun kita kena hantar Borang 9 (kepada ROS). Tak hantar mereka akan bagi surat amaran. Kalau surat amaran ini kita tak ambil tindakan mereka akan menyahsitakan atau batalkan penubuhan cawangan itu."

"UMNO kena selalu, banyak juga cawangan kita dibatalkan pendaftaran kerana tak hantar Borang 9. Tapi UMNO tak salahkan ROS. Kita salahkan diri kita sendiri dan kita buat rayuan balik supaya cawangan itu dihidupkan semula," katanya.

Sebelum ini, Penasihat DAP Lim Kit Siang mendakwa BN cuba mensabotaj partinya selepas ROS mengarahkan parti itu mengadakan semula pimilihan CEC yang didapati tidak sah. 

 Kit Siang cuba 'bermain wayang' dengan menakut-nakutkan penyokongnya bahawa DAP mungkin akan diharamkan bila hampir dengan Pilihan Raya Umum ke-14 sedangkan pemimpin parti itu mempunyai masa yang cukup panjang untuk membetulkan masalah dalaman parti mereka. - Kedahnewscom.

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com